Liow Buat Lawatan Mengejut Ke Cawangan JPJ, Siasat Aduan Pelanggan

153
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Selepas menerima aduan di Twitter, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai membuat lawatan mengejut ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Wangsa Maju untuk melihat sendiri situasi sesak seperti yang didakwa.

Beliau terkejut apabila mendapati salah satu masalah yang dihadapi cawangan itu adalah pelanggan terpaksa beratur panjang menunggu giliran.

Bercakap kepada pelanggan pada pukul 3.30 petang Isnin, beliau mendapati bahawa purata masa menunggu untuk urusan memperbaharui lesen melebihi satu jam, dua kali lebih lama dari sasaran yang ditetapkan.

Perbualannya dengan pegawai-pegawai di setiap kaunter mendedahkan bahawa cawangan itu tidak dapat menampung sepenuhnya kehadiran kira-kira 800 orang pelanggan pada setiap hari.

“Saya telah mengarahkan pegawai-pegawai di sini untuk membuka kaunter tambahan atau menjadikan sistem lebih cekap. Saya juga telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama untuk masa menunggu bagi pelanggan yang tidak boleh melebihi setengah jam,” katanya.

Selain barisan panjang, Liow juga mendapati tiga kiosk automatik di situ mempunyai kapasiti terhad dan tidak boleh digunakan selepas waktu bekerja.

“Selepas mengeluarkan 50-100 pelekat cukai jalan, kiosk itu perlu diisi semula. Kawasan tempat letak kereta juga sangat sesak,” katanya.

Liow berkata kementerian akan mengkaji kemungkinan melanjutkan tempoh perkhidmatan kiosk dan juga untuk meluaskan parkir di cawangan itu.

Dalam jangka masa panjang, Liow berkata, beberapa perkhidmatan JPJ akan dipindahkan ke dalam talian.

“Orang ramai hanya perlu melakukannya secara online tanpa perlu datang ke JPJ (cawangan),” kata beliau sambil menambah jabatan itu juga memberi kemudahan kepada penduduk luar bandar melalui unit kaunter mudah alih.

Liow menegaskan bahawa pengurangan masa menunggu di cawangan-cawangan adalah sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata walaupun perkhidmatan di cawangan JPJ sudah jauh lebih baik daripada sebelum ini, masih terdapat ‘ruang untuk penambahbaikan’.

Liow berjanji untuk terus mendengar tuntutan rakyat, menggambarkan peristiwa hari itu sebagai ‘pengalaman yang sangat baik’.

Katanya, beliau akan terus menjalankan pemeriksaan mengejut di cawangan-cawangan JPJ.

“Dengan mendengar rungutan rakyat, dan melakukan pemeriksaan mengejut, ia membantu saya untuk memahami apa yang berlaku di kalangan masyarakat,” katanya. – MSTAR

SHARE
Previous articleArab Saudi Umum Tentera 34 Negara Islam Perangi Keganasan
Next articleMCA Tolak PAS Bawa Hudud