Lima Tahun Yang Sia-Sia – Mat Taib

30
0
SHARE

Oleh: Iqbal Jalali

KUALA LUMPUR: Di sebalik spekulasi pengumuman Pilihan raya Umum Ke-14, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib kembali menyertai UMNO selepas lima tahun bersama pembangkang dengan menyertai PAS sebelum PRU-13 dan PKR pada 2015.

Menyifatkan perjuangannya selama lima tahun itu sebagai sia-sia, ini kerana perjuangan Melayu tidak pernah menjadi agenda dalam mesyuarat PKR yang dihadirinya dan mendorong beliau untuk kembali kepada parti keramat Melayu itu.

“Jika mesyuarat parti itu tidak dibincangkan agenda Melayu, tentunya akan hilang perjuangan agama (Islam) sendiri.

“Jadi, tidak ada jalan lain selain UMNO yang akan sentiasa perjuangkan kepentingan Melayu dan itulah minat saya sebenarnya berjuang untuk memajukan bangsa,” kata pemimpin Selangor yang pernah berkuasa selama 11 tahun.

Muhammad yang menyertai PAS sebelum PRU-13 dan kini kembali menyertai UMNO sebelum PRU-14, menunjukan niat ikhlasnya untuk berjuang tanpa sebarang niat untuk bertanding dalam PRU.

“Nampak gah tetapi sebenarnya untuk Melayu banyak rugi apabila bersama parti yang memerintah (Selangor) sekarang,” tambahnya yang berjanji untuk bersama kepimpinan UMNO Selangor mengembalikan kepentingan politik Melayu di negeri termaju itu.

Tambahnya lagi, “Tapi akhir-akhir ini suasana perpecahan itu ribut balik, saya bimbang ada pihak ambil kesempatan atas perpecahan orang Melayu dan ambil peluang dan dapatkan kuasa ini.”

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya mengalukan penyertaan semula bekas veteran UMNO itu.

“Bukan soal jawatan tetapi niatnya ikhlas semata-mata kerana perjuangan. Beliau sedar perjuangan pembangkang khususnya PKR amat sia-sia dan sangat bertentangan dengan jiwa dan semangat yang ada padanya, sebab itulah Allah membuka hatinya untuk kembali menyertai Umno,” jelas Najib yang percaya Muhammad akan mampu memperkukuhkan kedudukan UMNO dan Barisan Nasional.

SHARE
Previous articleMat Taib Kembali Ke UMNO
Next articleIsmail Sabri Puji Pengishtiharaan Mat Taib Memasuki UMNO