Lima Jemaah Masih Dirawat – Tabung Haji

211
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Lima daripada 10 jemaah haji Malaysia yang cedera dalam kejadian runtuhan kren di Masjidil Haram, Makkah pada Jumaat, setakat ini telah dibenarkan pulang ke tempat penginapan masing-masing.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Ismee Ismail, lima lagi jemaah Malaysia yang cedera masih dirawat dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Terbaharu, empat yang dibenarkan pulang ialah Faridah Mat Yacob, 46, Rusiah Baba, 50, Ahmad Muzafar Mamat, 39, dan Mohd Sharif Meon, 64.

Seorang lagi, Noordin Wahab, 59, yang mengalami luka kecil, telah dibenarkan kembali ke bilik penginapan lebih awal.

Ditemui pemberita hari ini selepas mengunjungi kediaman Zainun Taha, 69, antara lapan jemaah haji Malaysia yang belum dikesan susulan tragedi yang dilaporkan meragut 107 nyawa itu, Ismee berkata usaha pencarian masih diteruskan.

“Pasukan mencari dan menyelamat TH terus giat berusaha mencari kesemua jemaah terbabit di lokasi persekitaran Masjidil Haram serta klinik dan hospital sekitar Makkah,” kata Ismee.

Menurutnya, bilangan jemaah haji Malaysia yang masih belum dapat dikesan kekal lapan orang.

“Setakat 11 malam (waktu Arab Saudi), pasukan perubatan TH masih tidak dibenarkan memasuki mana-mana rumah mayat dalam usaha pencarian itu,” jelasnya.

“Kita harap semua pihak bersabar dan merujuk sebarang pertanyaan terus kepada TH untuk mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya.