Lebih 7,000 Polis Bertugas Pastikan PRN Sarawak Lancar

405
0
SHARE

JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan lebih 7,000 anggota sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 (PRN-11) yang kini bertumpu kepada hari penamaan calon selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 11 April ini.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim, berkata kekuatan itu termasuk 1,000 anggota dari Semenanjung termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi meningkatkan tahap keselamatan selain membantu sistem perhubungan serta komunikasi.

“Saya juga sebelum ini sudah hampir tujuh kali mengadakan mesyuarat bersama Kontinjen Sarawak untuk membincangkan pelbagai perkara bagi memastikan PRN-11 berlangsung dengan lancar termasuk kekuatan anggota dari Kontinjen Sabah.

“Ini kerana keadaan Sarawak yang mempunyai kawasan pedalaman luas, maka peranan PGA amat penting khususnya dari segi komunikasi, malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga memerlukan laporan proses pengundian setiap sejam.

“Polis dari semasa ke semasa akan berbincang mengenai penugasan anggota sepanjang berlangsungnya proses pilihan raya itu, termasuk beberapa perkara lain berkaitan kemudahan logistik seperti penggunaan helikopter dan bot bagi memantau keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor di Tampoi, dekat sini, hari ini.

Penetapan tarikh penamaan calon, hari undi awal dan pengundian bagi PRN-11 akan ditentukan SPR selepas menerima notis rasmi pembubaran DUN Sarawak.