Larangan Jual Rokok Bawah 21 Tahun

19
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Larangan menjual rokok kepada individu berusia bawah 21 tahun adalah antara inti pati akta baharu yang akan digubal di Parlimen, selewat-lewatnya tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata kawalan hasil tembakau dan merokok ketika ini tertakluk kepada Akta Kawalan Makanan 1983.

Katanya, akta sedia ada tidak berupaya membendung penularan gejala merokok, khususnya dalam kalangan golongan muda di negara ini yang semakin meruncing.

“Menerusi akta sedia ada, kita berdepan pelbagai kekangan termasuk untuk menguatkuasakan larangan penjualan rokok kepada golongan muda.

“Oleh itu, kita akan masukkan peruntukan baharu dalam akta yang akan digubal supaya perundangan sebelum ini berkaitan larangan penjualan rokok kepada individu bawah 18 tahun ditingkatkan kepada 21 tahun.

“Setakat ini, inti pati akta baharu berkenaan diserahkan ke pegawai undang-undang di Kementerian Kesihatan untuk penelitian, sebelum dibentangkan ke Parlimen,” katanya menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nurul Izzah meminta penjelasan kerajaan mengenai usaha menangani peningkatan kesan terhadap perokok pasif, selain kebimbangan berhubung kadar perbelanjaan rokok dalam kalangan rakyat Malaysia yang dikatakan hampir RM90 juta sebulan.

Dr Hilmi berkata, antara kandungan lain yang akan dimasukkan dalam akta baharu itu adalah kawalan kaedah pengiklanan rokok di tempat awam, khususnya kedai makan dan pusat beli-belah.

“Kebanyakan premis kedai runcit dan pusat beli-belah mempamerkan rokok di belakang atau sisi kaunter sebagai kaedah pengiklanan, justeru kita meneliti usaha untuk merombak pendekatan ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) mengenai kadar kejayaan kempen antirokok, Dr Hilmi berkata, pendekatan pasif itu menunjukkan keberkesanan yang kurang memuaskan.

Beliau berkata, kajian kementerian mendapati kempen antirokok hanya menyumbang peningkatan kejayaan sekitar 0.6 peratus dalam tempoh lima tahun, iaitu dari 2010 hingga 2015.

“Sehubungan itu, kita memerlukan kaedah baharu untuk menangani peningkatan perokok di Malaysia, berbanding hanya bergantung kepada kempen kesedaran,” katanya.

SHARE
Previous articlePerdagangan Malaysia-Perancis Terus Kukuh
Next articleAhli Parlimen Bersatu Sokong RUU Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak