Laporan Sarawak Report Berniat Jahat – TPM

269
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Laporan terbaru portal Sarawak Report yang mendakwa kononnya wujud draf kertas pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berniat jahat dan cuba mewujudkan persepsi negatif terhadap perdana menteri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)  untuk menyiasat portal berkenaan dan telah mengarahkan Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan susulan.

“Saya secara rasmi ingin menafikan yang kononnya ada dokumen atau surat arahan bagi penangkapan dan pendakwaan yang dilakukan Jabatan Peguam Negara kepada perdana menteri. Dan laporan yang dikemukakan oleh Sarawak Report adalah laporan jahat untuk menunjukkan persepsi negatif terhadap perdana menteri.

“Peguam Negara dah nafikan … termasuk penafian dibuat oleh beberapa orang pegawai yang sahkan tiada dokumen yang dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah di Bukit Aman, di sini, Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri diminta mengulas tindakan yang akan diambil terhadap portal Sarawak Report berhubung penerbitan artikel berkaitan dakwaan wujud draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri dan telah dinafikan kewujudannya oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.