Langkawi Dilengkapi Sistem Amaran Awal Tsunami

133
0
SHARE
LANGKAWI: Langkawi kini dilengkapi sistem amaran awal tsunami dengan pemasangan kelengkapan pengesan dan amaran di beberapa lokasi di pulau ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Datuk Che Gayah Ismail, berkata kelengkapan itu termasuk dua stesen tolok pasang surut, sebuah stesen pergerakan kuat, satu sistem kamera pantai dan lima unit sistem siren tsunami.

Berucap merasmikan program Table Top Exercise Tsunami (TTX-Langkawi) di sini, beliau berkata Langkawi adalah antara tempat yang terdedah kepada ancaman tsunami dan kelengkapan yang ada mampu menyebarkan maklumat tentang kejadian itu dalam tempoh lapan minit selepas tsunami dikesan.

“Usaha-usaha sedang diambil untuk terus menyelenggara sistem amaran awal tsunami negara kita agar sentiasa berfungsi dengan baik,” katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalannya, Dr Mohd Rosaidi Che Abas.

Menurutnya, kelengkapan di pulau ini menjadi sebahagian daripada sistem amaran awal negara yang merangkumi 63 stesen seismik bagi memantau kejadian gempa bumi dalam negara dan serantau, 17 stesen tolok pasang surut dan sebuah pelampung pengesan ombak tsunami.

Che Gayah berkata, sejak 2006, sebanyak 12 latihan amali mengenai tsunami diadakan di seluruh negara yang mana tiga daripadanya berlangsung di Langkawi.

“Sebanyak 95 program kesedaran awam mengenai gempa bumi dan tsunami serta kempen kesedaran awam siren tsunami juga telah diadakan, yang mana 13 daripadanya dijalankan di Kedah dengan tiga adalah di Langkawi,” katanya.

Beliau berkata, TTX-Langkawi adalah program anjuran bersama METMalaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memantapkan lagi tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana tsunami.

Seramai 150 orang peserta yang mewakili agensi teknikal dan pengurusan bencana negara menyertai program itu yang melibatkan pembentangan dua kertas kerja dan latihan dalaman.

Katanya, latihan ini juga juga sejajar dengan program Indian Ocean Tsunami Wave Exercise 2016 (IOWAVE16) anjuran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).