Langkah Rawang Hanya Spekulasi – Azmin Ali

54
0
SHARE

PETALING JAYA: “Tidak ada langkah Rawang, jangan dengar spekulasi” tegas Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang mengulas desas-desus Langkah Rawang untuk menggantikannya.

Langkah Rawang sama seperti Langkah Kajang yang menjadi gerakan untuk menggantikan Menteri Besar Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nei dikatakan bakal mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Datuk Saifuddin Abdullah yang baharu menyertai PKR seterusnya menjadi Menteri Besar.

“Apa dia Langkah Rawang? Tidak ada, janganlah dengar spekulasi. Sa­ya tidak pernah dengar (Langkah Ra­wang) sebab itu tidak betul,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pada Khamis.

Beberapa blog melaporkan terdapat desas-desus menyatakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang bakal dikosongkan dan Mohamed Azmin akan disingkirkan sebagai Menteri Besar manakala Saifuddin menggantikannya.

Menurut laporan tersebut, khabar angin semakin kencang bertiup dalam kalangan pemain politik PKR malah ramai yang melihat usaha ke arah itu semakin giat digerakkan.

Laporan itu turut mengaitkan gerakan berkenaan dengan kemungkinan tindakan Moha­med Azmin yang menidakkan permintaan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi me­nyingkirkan Pas daripada memegang jawatan Exco kerajaan negeri.

Mohamed Azmin dalam pada itu berkata, partinya telah menghantar resolusi baharu kepada Majlis Tertinggi pakatan pembangkang untuk menyatakan pendirian bahawa mereka akan terus bekerjasama dengan Pas dan semua parti pembangkang.

“Senario di Pulau Pinang berbeza sebab PKR ada kerjasama dengan DAP dan Amanah melalui pakatan pembangkang,” kata Azmin. – MKINI

SHARE
Previous articleAhli Parlimen Pembangkang Sombong – Bung Mokhtar
Next articlePerdana Menteri Bentang Bajet 2016 Petang Ini