‘Langkah Kajang Berjaya Aibkan Saya’- Khalid Ibrahim

511
0
SHARE

KUALA LUMPUR: “Langkah Kajang telah berjaya mengaibkan saya yang akhirnya menyebabkan saya kehilangan jawatan,” kata bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, strategi politik yang tidak bermoral itu turut menyebabkan keretakan dalam pemuafakatan antara parti komponen Pakatan Rakyat akibat sikap politik retorik dan hipokrit.

“Akibatnya Pas, sebuah parti politik yang mempunyai kekuatan ‘grassroots’ dan tenaga mereka kongsi sepenuhnya pada setiap pilihan raya telah diketepikan dan dipecah-belahkan.

“Bahkan pemimpin mereka turut terpalit dan diaibkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, Langkah Kajang juga telah mengakibatkan kesan buruk kepada rakyat Selangor terutamanya melibatkan isu penstrukturan air.

Ini katanya, sehingga kini penstrukturan semula Air Selangor masih belum dilakukan sebagaimana yang sepatutnya.

“Tanah Selangor diserahkan kembali kepada golongan ‘rentier’ yang hanya mengaut laba atas angin, masalah sampah masih berleluasa serta halatuju pentadbiran negeri yang masih kabur,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau optimis dan memutuskan untuk terus berjuang demi kepentingan rakyat selepas fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh PKR telah terbukti palsu.

Beliau merujuk kepada bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan PKR telah menyatakan rasa kesal mereka dan memohon maaf kerana mengeluarkan dan mengedarkan satu laporan 91 mukasurat yang mengandungi pelbagai tuduhan fitnah terhadap Abdul Khalid.

“Justeru setelah maruah saya ditebus dengan kenyataan maaf oleh PKR lantas terbukti bahawa segala tohmahan yang dilemparkan ke atas saya ternyata fitnah semata-mata maka saya kini boleh memberi tumpuan penuh untuk melakukan usaha ini,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam merekodkan Penghakiman Persetujuan melalui kes Saman Fitnah yang difailkan Abdul Khalid terhadap Saifuddin dan PKR.

Ia berkaitan laporan yang dikeluarkan dan diedarkan bagi menjelaskan mengapa Abdul Khalid perlu dilucutkan dari jawatan Menteri Besar Selangor dan bukanlah satu bukti muktamad bahawa beliau telah melakukan kesalahan seperti fitnah yang disebut.