Laman Pro-Najib Bangkitkan Warna Baju Tun M

267
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tidak bimbang dengan kemungkinan layanan buruk, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini hadir ke perhimpunan agung Umno di ibu negara.

Bekas perdana menteri dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di tempat persidangan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekitar jam 8.30 pagi tadi.

Veteran Umno 90 tahun, yang berterusan mendesak pengunduran Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak itu, disambut dengan laungan “Hidup Tun!”.

Penyokongnya juga menyanyikan lagu patriotik “Inilah Barisan Kita”.

Mahathir pada Isnin berkata akan hadir untuk meneliti sama ada derma RM2.6 bilion kepada Umno yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib dinyatakan dalam penyata kewangan parti itu.

Bagaimanapun, laman pro-Najib MYKMU mengetengahkan isu warna pakaian perdana menteri keempat itu.

“Bertentangan dengan saranan agar penyokong Tan Sri Muhyiddin memakai baju biru sebagai tanda solidariti, Tun Mahathir sendiri hari ini hadir ke perasmian perhimpunan agung Umno dengan berbaju merah jambu,” tulis portal itu.

MYKMU juga memuat naik gambar ketibaan Mahathir dan gambar lain sekumpulan hadirin di PWTC yang memakai baju biru bertulis “Keranamu Malaysia”. – MK