Label Khas Peranti Siaran TV Digital

156
0
SHARE

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkenalkan satu label khas sebagai usaha membantu pengguna membeli televisyen digital atau dekoder yang mampu menerima siaran perkhidmatan Televisyen Terestrial Digital (DTTB) mulai tahun depan.

Ketua Jabatan Penciptaan Digital dan Platfom Pengedaran SKMM, Azlina Mohd Yusof, berkata label khas berkenaan yang dikenali sebagai ‘Label Pengguna Penerima DTTB’ atau ringkasnya ‘DTTV Malaysia’ akan mula diguna pakai pada Januari 2016.

Logo khas itu diperkenal hasil perundingan dengan penggiat industri dan pengedaran serta kelulusan untuk menggunakannya dipertanggungjawabkan kepada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

“Ini adalah usaha SKMM untuk membantu pengguna mengenal pasti televisyen atau dekoder di pasaran yang mampu menerima isyarat DTTB selain berperanan sebagai inisiatif alat bagi mengelakkan kewujudan peralatan tidak mematuhi piawaian di pasaran,” katanya selepas seminar Label Pengguna Penerimaan DTTB di sini, baru-baru ini.

Azlina berkata, walaupun penggunaan label khas berkenaan oleh pengeluar televisyen adalah secara sukarela, SKMM dan SIRIM tetap melaksanakan beberapa peringkat kawalan untuk memastikan pengguna tidak tertipu.

Sementara itu, Ketua Seksyen Komunikasi dan Pensijilan Multimedia SIRIM QAS International, Fauziah Fadzil, berkata setiap pengeluar dan pengimport televisyen dan peralatan dekoder yang mahu mendapatkan label ‘DTTV Malaysia’ bagi produk masing-masing tertakluk kepada beberapa syarat serta peraturan tertentu.

Ini termasuk Kod Teknikal SKMM sebagaimana termaktub di dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, katanya.

Ketika ini terdapat 168 model televisyen daripada pelbagai jenama telah diberi pensijilan menerima isyarat DTTB termasuk menggunakan label DTTV Malaysia.

Selain itu, setiap produk mesti dihantar kepada SIRIM untuk kod kelulusan atau ‘Kod Kelulusan Jenis’ (TAC) dan selepas itu pengeluar atau pengimport perlu mencetak label berkenaan berdasarkan piawaian ditetapkan.

Katanya, penggunaan dan cara mempamerkan label khas berkenaan terletak masing-masing kepada kreativiti pengeluar atau pengimport antaranya dipamerkan pada kotak serta bungkusan produk yang mendapat kelulusan.

“Label berkenaan juga boleh dipamerkan atau dicetak pada kad jaminan produk, peralatan pengiklanan seperti kain rentang, sepanduk, poster atau cara lain yang sewajarnya,” katanya.

Fauziah berkata, pihaknya amat menggalakkan pengeluar serta pengimport televisyen supaya menggunakan label khas berkenaan walaupun penggunaannya adalah secara sukarela.

Beliau menjelaskan terdapat tiga standard cetakan yang dibenar untuk logo berkenaan namun semuanya mewajibkan cetakan perkataan ‘DTTV Malaysia’ mesti berwarna putih, manakala latar belakang ditetapkan kepada warna hitam atau kelabu.

Fasa pertama DTTB yang dikendalikan oleh MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) dijangka dinikmati seawal Januari tahun depan dengan meliputi kira-kira 85 peratus daripada kawasan berpenduduk di seluruh negara sebelum dipertingkat kepada 98 peratus menjelang akhir 2016.

Ia adalah sebahagian daripada agenda transformasi kerajaan bagi keperluan sistem penyiaran pendigitalan selain dilihat mampu memperkukuh kemampuan Malaysia dalam mempertingkat daya inovasi.