Kunjungan Mengejut Najib Ke UTC Pudu

73
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan lawatan mengejut di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu bagi memastikan segala kemudahan berada dalam keadaan baik menjelang cuti hujung tahun.

Beliau yang sempat meluangkan masa selama 45 minit turut memeriksa pejabat-pejabat agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia dan pusat rekreasi belia Kementerian Belia dan Sukan.

Menurut Najib, hasil tinjauan beliau mendapati rakyat berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan semasa melakukan urusan mendapatkan atau memperbaharui dokumen-dokumen kerajaan seperti MyKad dan Pasport Antarabangsa.

“Secara keseluruhan, saya dapati keadaan fizikal berada dalam keadaan yang baik. Saya juga berkesempatan meninjau mutu perkhidmatan yang disediakan dan dapati orang ramai atau rakyat berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

“Semuanya berjalan dengan begitu baik dan memenuhi piawaian yang ditetapkan umpamanya pasport boleh didapati dalam tempoh masa tidak kurang dari 1 jam,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini hari ini.

Tambah beliau, waktu operasi yang dipanjangkan juga memberi kelonggaran kepada pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan di luar waktu pejabat.

“Ini menunjukkan apa yang kerajaan lakukan demi memberi keselesaan kepada rakyat di bawah satu bumbung di mana mereka boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di sini.

“UTC juga dibuka pada hari Sabtu dan Ahad di mana waktu tersebut didapati bahawa (jumlah) pelanggan melebihi hari-hari biasa,” katanya.