Kumpulan ‘Baju Merah’ Berhak Berhimpun Asalkan Matlamat Jelas – Azmin

193
0
SHARE

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini berkata, “himpunan baju merah” mempunyai hak sendiri untuk berhimpun asalkan mereka mempunyai matlamat yang jelas dan bukan hendak menimbulkan huru-hara.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan penganjur himpunan tersebut Datuk Jamal Md Yunus yang dilaporkan akhbar Sin Chew Daily semalam berkata, kumpulan itu akan berhimpun di Selangor pada 10 Oktober ini bagi menuntut penjelasan berhubung Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG).

“Saya bukan ahli Umno, jadi saya tak tahu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam hari ini.

Mengulas dakwaan Jamal, yang juga ketua Umno Bahagian Sungai Besar, yang perhimpunan itu juga diadakan kerana rakyat Selangor tidak terbela, Azmin menyindir mengatakan hanya Umno sahaja yang membela nasib rakyat.

“Yalah, sebab yang bela rakyat hanya Umno. Itu hak berhimpun, dibolehkan. Tapi mesti ada matlamat yang jelas. Mesti ada sebab, bukan menimbulkan huru-hara, kekacauan,” katanya. – INSIDER