Ku Nan Perlu Dikenakan Tindakan – Nik Nazmi

454
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Polis perlu mengambil tindakan tegas kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana menyebarkan maklumat dan berita palsu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kenyataan Tengku Adnan bahawa beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur menjadi sasaran pengganas telah memberi implikasi besar.

“Ini merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan sehingga kini masih ramai yang menyebarkan kenyataan ini sehingga mengakibatkan keresahan orang ramai tentang perihal keselamatan negara.

“Jika benar pihak polis mengambil serius tentang penyebaran maklumat dan berita palsu, mereka harus bertindak tegas terhadap Tengku Adnan kerana kata-kata seorang Menteri pasti memberi implikasi yang besar.

“Sudah masanya seseorang Menteri bertanggungjawab terhadap kata-kata yang diungkapkan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ahad lalu, Tengku Adnan dalam satu sidang media di Putrajaya menamakan tujuh lokasi di sekitar Kuala Lumpur yang menjadi sasaran pengganas termasuk Bangsar, Hartamas, The Curve dan Bukit Bintang.

Beliau mendakwa mendapat maklumat itu daripada risikan pihak berkuasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun menafikan pihaknya menamakan lokasi-lokasi yang menjadi sasaran pengganas.

Polis katanya, hanya meningkatkan kawalan keselamatan dengan menambah bilangan anggota di kawasan tertentu bagi meningkatkan keyakinan orang ramai dan supaya mudah bertindak jika terdapat ancaman. – FMT