Ku Nan Hanya Setiausaha Agung, Hormatlah Timbalan Presiden – Shafie

389
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shafie Apdal mempersoalkan hierarki Setiausaha Agung Umno yang disandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana terlalu berani dan lantang mengeluarkan amaran kepada ketuanya dalam parti.

Justeru naib presiden Umno itu mengingatkan Tengku Adnan supaya jangan menyuburkan budaya tidak menghormati pemimpin dengan memberi arahan dan peringatan kepada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apa yang kita nak suburkan dalam Umno? Ku Nan kata jangan cross the line. Dia cuma setiausaha agung sahaja. Nak bagi amaran kepada timbalan, boleh?

“Saya naib presiden tak boleh bagi amaran kepada setiausaha agung? Jangan buat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, Selasa.

Beliau mengulas mengenai amaran Tengku Adnan kepada Muhyiddin pada Isnin iaitu beberapa jam sebelum bekas timbalan perdana menteri itu menyampaikan ucapan di Kelab Sultan Selangor.

Kata Tengku Adnan, Muhyiddin diingatkan agar tidak melampaui batas atau beliau bakal berdepan tindakan.

Sementara itu diminta mengulas mengenai pandangannya terhadap Umno, pemimpin politik dari Sabah itu berkata budaya yang baik dan inklusif perlu disuburkan dalam parti berkenaan.

“Parti ini perlu kita suburkan, saya bimbang sangat tentang Umno terutamanya mengenai cara pentadbirannya. Tanggungjawab kita adalah penting.

“Kita mesti inklusif dalam tindakan, jangan lihat ini kritikal sangat dengan ambil tindakan pecat atau gantung keahlian jika beri pandangan kritikal,” katanya.

SHARE
Previous article‘Kenapa Derma RM2.6 Billion Tiada Dalam Penyata UMNO?’ – GKCM
Next articleNajib ‘Bermimpi Di Siang Hari’ – PAS Selangor