Ku Li Tandatangani Deklarasi Kelantan Sokong Najib

157
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tokoh politik Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menandatangani Deklarasi Kelantan – penyataan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perkembangan mengejutkan itu dilakukan secara tertutup di Parlimen hari ini, dengan disaksikan sendiri oleh Najib.

“Tengku Razaleigh Hamzah sebentar tadi menandatangani Deklarasi Kelantan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak,” tulis Tan Sri Annuar Musa di laman Facebook miliknya.

Nama Tengku Razaleigh disebut antara 58 individu yang menandatangani Deklarasi Rakyat yang ditunjangi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan sokongan pemberontak UMNO dan pimpinan parti-parti pembangkang.

Tindakan Tengku Razaleigh hari ini, bersama pimpinan BN Kelantan lain menyusuli penolakan PAS yang memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang kepada usaha menggulingkan Najib.

Annuar dalam muatnaik berbeza menulis acara tandatangan itu diadakan disamping mesyuarat wakil rakyat BN bersama Najib membincangkan isu pembangunan Kelantan.

“Para pemimpin Kelantan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk membawa isu rakyat dan isu kemajuan Kelantan. Antaranya, termasuk permohonan untuk pembesaran airport, royalti minyak, lebuhraya Gua Musang-Kota Bharu, Stadium The Red Warrior.

“Semoga kita dapat yang terbaik untuk rakyat,” katanya lagi.