KTM Sasar 2 Juta Penumpang ETS Tahun Ini

126
0
SHARE

Foto: Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad menyasarkan dua juta penumpang bagi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tahun ini, berikutan pengenalan 12 lagi perkhidmatan baharu tren itu bulan ini, kata Presidennya, Datuk Sarbini Tijan.

Beliau berkata menerusi perkhidmatan baharu itu, kapasiti penumpang ETS mampu ditingkatkan kepada 13,000 penumpang sehari berbanding hanya 6,000 penumpang sehari tahun lalu.

Beliau berkata dengan penambahbaikan perkhidmatan ETS pada masa kini, KTM Berhad juga menyasarkan untuk mencapai kira-kira 11,000 penumpang sehari daripada 13,000 kapasiti tempat duduk yang disediakan.

“Sebenarnya KTM belum pernah lagi memperkenalkan begitu banyak perkhidmatan seumpama ini. Penambahbaikan dari segi faktor masa perjalanan yang singkat, keselesaan, dan pelbagai promosi akan merancakkan lagi peningkatan jumlah penumpang ETS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perkhidmatan ETS Platinum Sektor Utara di Stesen Sentral Kuala Lumpur hari ini.

Perasmian itu disempurnakan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pengerusi KTM Berhad Datuk Nawawi Ahmad.

Acara perasmian disusuli dengan pelancaran aplikasi KTMB-Mobticket yang membolehkan pelanggan menempah tiket tren secara dalam talian.

SHARE
Previous articleUMNO Selangor Tak Tipu Najib – Noh Omar
Next articleNajib Jumpa Pemimpin UMNO Kedah Di PWTC