Kronologi Kemelut Politik Kedah

311
0
SHARE

Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Mukhriz berkata beliau dimaklumkan telah hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Kedah.

Berikut adalah kronologi sepanjang krisis Menteri Besar Kedah berlangsung sejak 20 Januari lalu.

JANUARI

20 Januari- Sekumpulan pemimpin UMNO Kedah sepakat mengumumkan pendirian hilang kepercayaanterhadap Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam sidang media selepas perjumpaan tertutup kepimpinan UMNO negeri.

20 Januari- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyerahkan sepenuhnya kepada rakyatsupaya menilai prestasinya sejak Barisan Nasional berjaya merampas semula Kedah daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13.

“Serah kepada rakyat menilai keberkesanan pentadbiran saya,” katanya.

20 Januari- Hampir 1,000 orang berkumpul di pekarangan Bangunan UMNO Negeri Kedah pada malam 20 Januari sebagai tanda sokongan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Mereka berkumpul sejak pukul 8 malam, menunggu ketibaan Mukhriz di bangunan itu dikatakan untuk menghadiri mesyuarat UMNO Bahagian Jerlun.

21 Januari- Kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah hanya boleh ditentukan menerusi undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kuasa pada Jemaah Pemangku Sultan negeri itu, kata pakar-pakar perlembagaan.

21 Januari- Anak perempuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menyatakan sokongan kepada bapanya melalui satu status yang dimuat naik ke akaun Instagram peribadinya pada Rabu.

21 Januari- Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyatakan sokongan kepada Mukhriz. Menurut beliau, Mukhriz adalah seorang pemimpin UMNO yang berkaliber dan disenangi oleh ahli-ahli parti dan rakyat.

21 Januari- Penyokong bola sepak Kedah tidak mahu kehilangan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah.

21 Januari- Mukhriz menegaskan bahawa beliau tetap setia kepada UMNO dan menolak andaian akan melompat ke parti lain.

21 Januari- Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tidak ada keperluan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap 14 orang Ketua UMNO Bahagian di Kedah.

21 Januari- Mukhriz memberi amaran untuk bertindak terhadap mana-mana pihak yang dilihat cuba menganiayai dirinya dan rakyat Kedah.

22 Januari- Pemimpin-pemimpin UMNO Kedah yang terlibat dalam mesyuarat khas bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)  enggan berkongsi butiran mengenai apa yang dibincangkan.

23 Januari- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan kemelut politik Kedah.

23 Januari- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyeru agar krisis dalaman UMNO Kedah diselesaikan secara rasional dan penuh semangat kekeluargaan.

24 Januari- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah  menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa dirinya ‘gila jawatan menteri besar’.

25 Januari- Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed mendakwa kumpulan yang cuba menyingkirkan Mukhriz daripada jawatan Menteri Besar Kedah merupakan kumpulan sama yang menyebabkan UMNO kalah di Kedah pada pilihan raya umum 2008.

25 Januari- Tidak timbul isu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah dipaksa menandatangani surat akuan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz

Menegaskan demikian, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beliau difahamkan majoriti ADUN telah membuat akuan tersebut dan mereka bertindak atas kerelaan sendiri.

27 Januari- Mukhriz berkata beliau menerima apa sahaja keputusan membabitkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Kedah, serta bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan.

29 Januari- Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn.

29 Januari- Mukhriz diminta keluar dari mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. Arahan itu diberi oleh setiausaha agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

29 Januari- Jemaah Pemangku Sultan Kedah tidak menolak beberapa cadangan nama sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu bagi menggantikan Mukhriz.

30 Januari- Ketidakhadiran enam anggota Exco kerajaan negeri Kedah ke mesyuarat Exco pada 27 Januari lalu mencetuskan kemurkaan Sultan Kedah dan ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, kata Mukhriz.

31 Januari- Mukhriz mengesahkan beliau tidak akan menghadiri pertemuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dengan Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

FEBRUARI

1 Februari- Susulan krisis politik yang melanda negeri Kedah, 20 daripada 21 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman.

1 Februari- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Exco kerajaan negeri enggan mengulas kenyataan Mukhriz mendesak supaya pemimpin UMNO terlibat memohon maaf secara rasmi kepada Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

2 Februari- Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kedah berkumpul di sebuah hotel di Alor Setar bagi membincangkan krisis UMNO negeri.

2 Februari-  Seramai 13 daripada 15 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri Kedah menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung isu kedudukan menteri besar.

2 Februari- Kemelut politik Kedah yang berlarutan hampir dua minggu bakal menemui noktah apabila menteri besarnya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir kini sah akan digantikan.

Menurut sumber terdekat dengan menteri besar, Mukhriz dikatakan sudah dimaklumkan oleh pihak istana dan beliau akan mengadakan sidang media di Bilik Gerakan Negeri Wisma Darul Aman, jam 10 pagi Rabu berhubung keputusan itu.

3 Februari- Mukhriz umum letak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

3 Februari- Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.