KPN Kecewa Australia Keluar Notis Serangan Pengganas

291
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan kedutaan Australia berhubung amaran rancangan serangan pengganas di sekitar ibu negara terhadap rakyatnya yang melawat negara ini.

Katanya, pihak kedutaan negara berkenaan seharusnya memaklumkan sebarang maklumat yang diterima kepada pihak berkuasa negara ini sebelum mengeluarkan sebarang amaran yang tidak pasti.

“Saya kecewa. Mereka tidak berunding dengan kami.

“Dalam semangat bekerjasama, jika kita mempunyai apa-apa maklumat, kita akan berkongsi dengan mereka.
“Saya minta Australia, jika mereka mempunyai sesuatu, berkongsilah dengan kami,” kata Khalid pada sidang akhbar selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang melawat dan meninjau kawalan keselamatan di pusat beli-belah Pavilion, di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, petang tadi.

Menurut Khalid lagi, beliau sendiri tidak tahu asas Australia mengeluarkan amaran berkenaan sedangkan keadaan semasa di negara ini berada dalam keadaan terkawal dengan pengawasan dan kerjasama antara polis dan tentera.

“Ingin ditegaskan kita mengutamakan keselamatan semua pihak termasuk pelancong asing daripada sebarang elemen pengganas dan juga jenayah,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Kerajaan Australia dalam laman web rasminya, semalam mengingatkan rakyatnya di negara ini agar berwaspada dengan ancaman pengganas yang mungkin berlaku di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan itu lagi, ancaman serangan itu mungkin menyasarkan kawasan yang sering dikunjungi warga asing khususnya pelancong Barat.

Selain itu, Australia menasihatkan rakyatnya agar mengambil langkah berhati-hati di seluruh Malaysia dengan mengelakkan perjalanan ke timur Sabah termasuk pulau-pulau dan lokasi menyelam skuba.

Najib hari ini menghabiskan masa kira-kira 45 minit untuk meninjau operasi rondaan bersama Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi menjaga keselamatan awam di sekitar ibu negara.Beliau singgah di pusat beli-belah Pavilion dan melihat operasi oleh kedua-dua pasukan.

Hadir bersama adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Lawatan itu ialah bagi meninjau operasi bersama PDRM dan ATM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menjaga keselamatan awam di sekitar Kuala Lumpur.

“Hasil perbincangan bersama PDRM dan ATM kami bersetuju untuk meneruskan rondaan hingga kita rasa tidak perlu lagi,” kata Khalid.

Menurutnya, seramai 170 anggota polis dan 170 anggota tentera terbabit dalam rondaan yang dijalankan selama 24 jam sehari di sekitar kawasan tumpuan orang ramai di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Zulkifeli berkata rondaan bersama itu adalah untuk memantapkan lagi keselamatan dan keyakinan rakyat dan pelancong asing khususnya selepas insiden letupan yang berlaku di Jakarta pada bulan lalu. – MK