Kos PRN Sarawak Dianggarkan RM181 Juta

76
0
SHARE

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijangka menelan belanja sebanyak RM181 juta dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan bajet besar untuk kos pengangkutan dan sewa.

Anggaran itu melebihi dua kali ganda kos perbelanjaan pilihan raya negeri itu yang diadakan pada 2011 dengan SPR memperuntukkan sebanyak RM78 juta.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata jumlah kawasan pengundian lebih besar dengan mencatatkan penambahan daripada 71 kepada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Justeru, SPR perlu membuat persiapan lebih awal dalam menghadapi PRN itu.

“Kami perlu menyewa 38 helikopter untuk menghantar kotak undi, kertas undi dan pegawai ke kawasan pedalaman yang hanya boleh diakses menerusi udara. Ini sahaja melibatkan kos sebanyak RM33.4 juta.

“Kami masih perlu bersedia untuk itu walaupun bilangan pengundi di kawasan tertentu masih kecil dan ada kemungkinan pengundi tidak hadir,” katanya kepada The Star.

Menurut anggaran, kos pengangkutan dan sewa kira-kira 1,871 premis yang akan digunakan untuk tujuan pilihan raya negeri itu dianggarkan berjumlah RM87 juta manakala elaun bagi pegawai pengurus dan 21,000 pegawai dijangka mencecah RM40 juta.

Berikutan keadaan geografi di negeri itu, Abdul Aziz berkata SPR memerlukan pelbagai jenis pengangkutan untuk sampai kepada pengundi.

Selain helikopter, beliau berkata bot, kenderaan pacuan empat roda dan juga motosikal perlu disewa, oleh itu kos amat tinggi.

“Ini adalah anggaran kita tetapi ia bergantung kepada jumlah yang diluluskan Jabatan Perbendaharaan nanti,” katanya.

Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir pada 20 Jun ini.

Sehingga September 2015, terdapat 1.13 pengundi berdaftar di negeri itu dengan Ba’Kelalan mempunyai bilangan pengundi paling sedikit iaitu sebanyak 7,887 orang manakala Pelawan mencatatkan pengundi tertinggi dengan 32,848 orang.

Menurut statistik, bilangan pengundi lelaki dan wanita di Sarawak sehingga bulan lalu hampir sama iaitu 565,051 (49.9%) lelaki dan 566,905 (50.1%) wanita.

Pengundi berusia antara 30 dan 59 tahun dianggarkan sebanyak 65 peratus.

Menariknya terdapat kira-kira 7,313 pengundi yang berusia 90 tahun dan ke atas.