Korea Selatan-Utara Tegang

298
0
SHARE

SEOUL: Hubungan tegang antara Korea Selatan dan Utara kini mencapai tahap berbahaya apabila kedua-duanya semakin tertekan selepas masing-masing melancarkan serangan udara.

Kejadian yang jarang berlaku ini menyebabkan pentadbiran kedua-dua negara berjiran itu terpaksa meningkatkan kawalan di sempadan.

Malahan, Korea Utara memberi kata dua menerusi hotline ketenteraan pada Khamis mengarahkan supaya jirannya di selatan supaya menghentikan propaganda yang disebarkan menggunakan pembesar suara di sempadan dalam masa 48 jam atau berdepan tindakan ketenteraan.

Bagaimanapun, situasi tambah tegang apabila Korea Selatan menerusi Kementerian Pertahanannya memaklumkan pihaknya akan meneruskan penyiaran mesej propaganda itu.

Setakat Khamis, bedilan meriam yang dilepaskan melintasi sempadan dari Korea Selatan ke arah jirannya di utara bagi membalas serangan roket di barat sempadan negara itu mengakibatkan dua anggota keselamatan cedera.

Seorang jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, pihaknya mengesan bedilan sebuah roket dari Korea Utara di barat sempadan negara itu sejurus sebelum pukul 4 petang (waktu tempatan).

“Tentera kami bertindak balas melepaskan berpuluh-puluh bedilan meriam ke arah lokasi serangan roket Korea Utara itu.

“Persediaan tentera dipertingkatkan termasuk mengawasi dengan teliti pergerakan tentera Korea Utara,” kata kementerian itu menerusi kenyataan rasminya. – AFP