Kongres Berlalu Dan Komplot Bermula

213
0
SHARE

Oleh: Faizal Riduan

Kongres Nasional Keadilan Kali Ke-11 baru sahaja berlalu sebulan lalu. Tidak seperti tahun-tahun terdahulu, tahun ini Keadilan berkongres dalam suasa yang berbeza selepas parti itu kehilangan Ketua Umum, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim yang dipenjarakan di Sungai Buloh, kemunculan Menteri Besar Selangor yang baharu Mohamed Azmin Ali yang melenyapkan peluang Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar wanita pertama di Malaysia dan bersama gabungan politik baharu Pakatan Harapan Rakyat selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.

Kongres Nasional Keadilan Kali Ke-11 itu sebenarnya tidak ubah seperti Mesyuarat Biro Politik Keadilan atau sekadar sidang media di Tropicana. Maka tidak hairanlah ramai perwakilan termasuk pemimpin parti itu menggunakan ruang ucapan untuk mempertahankan tindakan Nurul Izzah Anwar yang bergambar dengan anak ketua kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Jacel H Kiram.

Azizah sendiri dalam ucapannya lebih banyak memperkatakan tentang dua sosok penting yang dekat dengan dirinya sendiri iaitu suaminya Anwar dan anaknya Izzah. Azizah adalah presiden sejak parti alternatif itu ditubuhkan pada 1999 dan adalah sesuatu yang menyedihkan kerana selepas 17 tahun, presiden parti itu masih berucap dengan isu-isu seputar Anwar. Wacana Deklarasi Permatang Pauh pada 1998 terus hilang bersama masa yang jalan.

Berbanding ucapan Azizah yang pegun sejak lebih sedekad lalu, hakikatnya dengan khalayak, latar dan suasana yang telah banyak berubah, penerimaan mesej Azizah kini tidak diterima sepenuhnya sebaliknya ada yang sinis melihat ucapan tersebut sebagai ‘angkat bakul sendiri’. Malah Deklarasi Permatang Pauh pada 1998 sudah tidak pasti di mana duduk letaknya.

Slogan “Bebas Rakyat, Bebas Anwar” menunjukkan bagaimana Anwar masih cuba dikesampingkan dalam agenda rakyat yang ditawarkan oleh parti yang sinonim dengan nama ‘rakyat’. Jika inilah strategi untuk memastikan Anwar terus diingati rakyat dari sebalik tirai besi maka tidak mustahil akan datang pakatan pembangkang bergelar “Pakatan Harapan Rakyat dan Anwar”.

Walaupun kongres menunjukkan penyatuan misi untuk membebaskan Anwar, ahli dan pemerhati melihat persaingan antara dua kem iaitu proksi Anwar melalui  Azizah dan Izzah dan Azmin yang bakal mencabar tradisi Keadilan sebagai parti legasi dan famili  akan terus sengit sehingga Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), dua tahun sahaja lagi.

Baik Azmin atau Izzah, kedua-duanya peminat Hikayat Tiga Kerajaan Wei, Wu dan Shu serta Seni Perang Sun Tzu akan menjadikan pertarungan politik mereka lebih licik, strategik dan penuh muslihat.

Azmin dengan kedudukan baru sebagai Menteri Besar Selangor, negeri paling kaya di Malaysia sedang memperkuatkan pengaruh dan jenteranya. Dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Pilihanraya 2013, Azmin menggunakan peluang dengan menempatkan calon-calon muda yang kemudian muncul sebagai kem ‘Keadilan Raya’.

Perlantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Izzah sebagai Pengarah Bersama Pilihanraya tahun lalu dilihat sebagai usaha awal mengekang kuasa Azmin yang semakin membesar selepas penyingkiran pesaingnya Tan Sri Khalid Ibrahim. Saifuddin yang juga bukanlah calon popular tetapi pro Anwar.

Dengan keadaan sekarang, maka tidak hairanlah Azmin menyalahkan media yang didakwa melaga-lagakannya dengan Wan Azizah. Masalahnya selama ini hubungan mereka selama 28 tahun itu berlaku dengan sangat baikkah?

SHARE
Previous articleBlatter Mengaku Tidak Bersalah Ambil Rasuah
Next articleIsu Tender Balak: Azmin Jawab Tuduhan Chegubard