Konflik Hang Tuah Vs Hang Jebat Tidak Pernah Selesai

2124
0
SHARE

Oleh: AZMAN HUSSIN

“Maka kata Laksamana, “Hai Si Jebat, takutkah engkau akan aku bertanya? Akulah Laksamana, baharu datang dari berguru di Hulu Melaka.” Maka sahut Jebat, “Hai Laksamana, bahawa aku tiada takut akan engkau! Kudengar engkau sudah dibunuh oleh bendahara, sebab itulah maka aku hairan.” Maka kata Laksamana, “Akulah Hang Tuah dititahkan Duli Yang Dipertuan membunuh engkau, kerana aku tiada mati, aku ditaruh oleh Bendahara di Hulu Melaka.´

KISAH Laksamana Hang Tuah seharusnya dikaji semula dan diambil pengajarannya untuk memahami konflik dunia politik orang-orang Melayu  hari ini, tentang kesetiaan seorang pahlawan ke atas rajanya, walaupun setelah beliau dianiayai dan difitnah, malahan beliau tergamak membunuh sahabat baiknya, Hang Jebat, yang memberontak kerana mahu membela “kematian” dirinya.

Apakah yang menjadi motivasi atau prinsip hidupnya sehingga beliau bertingkahlaku sedemikian? Rasionalkah beliau dalam tindakan itu? Apakah yang mungkin difikirkannya sehingga beliau sanggup membunuh sahabatnya sendiri?

Hang Tuah telah difitnah bermukah (berzina) dengan Melor, gundik Raja Melaka atas konspirasi Patih Kerma Wijaya dan pegawai-pegawai istana yang lain. Komplot jahat ini dilakukan kerana mereka mencemburui kedudukan Hang Tuah yang semakin tinggi di mata Raja Melaka.

Beliau akhirnya diperintahkan menjalani hukuman bunuh oleh Raja Melaka. Tugas ini diserahkan kepada Bendahara Paduka Raja. Sebaliknya Bendahara Paduka Raja tidak melaksanakan hukuman ini. Beliau telah menyembunyikan Hang Tuah di Hulu Melaka.

Apabila Hang Jebat bermaharajalela membuat onar atas hujah menentang kezaliman Raja Melaka kepada Hang Tuah, Hang Tuah telah dikeluarkan semula dari persembunyiannya di Hulu Melaka untuk menamatkan riwayat Hang Jebat  yang mengamuk. Berlakulah episod pertarungan tragik yang mengakhiri riwayat Hang Jebat di tangan Hang Tuah.

Adilkah begitu? Hang Jebat dibunuh kerana setiakawannya oleh Hang Tuah yang taat melulu kepada pemerintah, iaitu Raja Melaka.

Sehingga hari ini perdebatan siapa hero antara Hang Tuah atau Hang Jebat tidak selesai-selesai.

Siapakah yang benar?

Bagi orang-orang awam hari ini, mereka mungkin akan menyamakan Hang Tuah sebagai suatu ikon ketaatan yang membabi-buta, penjilat penguasa, atau dalam istilah dunia politik maya hari ini, ia diejek sebagai macai atau pemakan dedak.

Tidakkah kita terfikir, apakah yang membuat Hang Tuah begitu setia kepada Raja Melaka walaupun dirinya dianiayai dan difitnah?

Dalam dunia moden hari ini, kisah pengorbanan Hang Tuah ini tetap relevan, bahkan watak-watak Hang Tuah versi baru ini terus wujud, di mana terdapat ramai manusia yang “mengorbankan” diri mereka walaupun mereka sendiri dianiayai dan ditindas. Mereka terus kekal mentaati individu yang  didakwa menganiayai mereka itu, malah menentang orang-orang melakukan pemberontakan untuk membela mereka yang tertindas ini.
Begitu juga dengan watak-watak Hang Jebat versi baru terus wujud dalam kalangan rakyat hari ini.

Sebaliknya, pandangan umum dunia hari ini telah memenangkan pemberontak, pembangkang, anarkis, golongan kiri yang menentang establishment seperti kerajaan sebagai hero dan pejuang. Ia diangkat sebagai nilai-nilai yang baik, hebat dan mengujakan. Beribu-ribu anak muda mengimpikan untuk menjadi tokoh-tokoh pemberontak seperti ini. Imej-imej pemberontakan Hang Jebat ini  terus dikagumi, terus meresapi pemikiran generasi baru untuk menjadikan beliau sebagai idola. Kata-kata slogan yang lebih-kurang “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah” terus membayangi pemikiran rakyat.

Tokoh-tokoh yang terlibat dalam revolusi zaman moden seperti Mohamed Bouazizi di Tunisia, serta Wael Ghanim dan Khaled Said di Mesir telah diangkat sebagai wira rakyat.

Ironinya, golongan pemberontak ini, yang terdapat di merata-rata sudut dunia, seperti Mesir, Tunisia, Iraq, Libya atau terkini Syria, telah menghasilkan keadaan yang lebih buruk kepada negara dan seluruh rakyat jelata. Dengan melaungkan slogan-slogan perjuangan rakyat menegakkan keadilan seperti prinsip Hang Jebat, mereka telah merusuh dan mengadakan demonstrasi untuk menjatuhkan pemerintah sedia ada mereka yang mereka dakwa zalim. Tindakan membabi-buta itu telah mencampakkan mereka ke dalam situasi yang lebih buruk. Kuasa-kuasa asing telah memasuki negara mereka dengan memanipulasi keadaan ini. Realiti ini jelas terpampang di hadapan mata kita hari ini. Berapa banyak negara telah tumbang kerana pemberontakan rakyat ini.

Marilah kita berfikir. Cuba bayangkan jika Hang Tuah turut bersama Hang Jebat memberontak ke atas Raja Melaka, apakah akibat yang akan terhasil? Beliau mungkin dapat melepaskan dendam amarahnya kerana dianiayai, tetapi apakah kebaikan tindakannya ke atas negara dan sekalian rakyat jelata? Tidakkah pemberontakan itu akan menghasilkan keburukan kepada rakyat, sekalipun dendamnya dapat ditunaikan? Huru-hara dan keadaan tidak stabil negara akan berlaku, dan musuh-musuh dari luar mungkin akan mengeksploitasi keadaan ini untuk menguasai negara. Itulah yang terjadi dalam sejarah dunia moden hari ini. Kuasa-kuasa asing telah memasuki negara-negara yang dirempuh revolusi dan pemberontakan rakyat.

Itulah barangkali kebijaksanaan dan hikmah yang dimiliki oleh Hang Tuah yang kita tidak Nampak dan sedari. Kita hanya menilai dan melihat secara zahir sahaja, iaitu tindakan beliau itu bodoh kerana berdiam diri setelah difitnah. Kita tidak memikirkan bahawa kesetiaannya bukan membabi-buta, tetapi beliau memikirkan apa yang akan terjadi kepada rakyat jelata jika beliau bangun memberontak ke atas Raja Melaka.
Dalam konteks dunia hari ini, jerana mereka yang kita panggil macai, penjilat dan taat membabi buta inilah, negara kita masih terus hidup aman dan tidak terjajah oleh kuasa asing.

Mereka ini telah mengorbankan “maruah” diri mereka untuk mengelak keburukan atau kemudaratan yang lebih besar jika mereka turut melawan pemerintah. Mereka membiarkan diri mereka dihina, dipanggil bodoh dan apa saja lagi, hanya kerana mereka berfikiran rasional, iaitu menolak kemudaratan yang lebih besar daripada mengejar manfaat yang sedikit.

Malangnya dunia hari ini telah memandang rendah golongan yang menahan sabar, mentaati pemerintah, tidak memberontak seperti Hang Tuah walaupun mereka di pihak benar, sedangkan mungkin tanpa kesabaran dan ketaatan mereka,  keamanan dan kedaulatan sesebuah negara akan tergadai.

Pandangan dunia hari ini telah memenangkan keberanian fizikal, sedangkan kebijaksanaan akal akan dipandang bodoh. Imej Hang Tuah telah diperlekehkan, sementara ikon Hang Jebat pula dipandang tinggi, sedangkan Hang Tuah mewakili golongan yang berfikiran rasional, sementara Hang Jebat lebih dikuasai emosi.

Mungkin hadith daripada Hudzaifah ra ini juga sesuai untuk direnungkan dalam mengadili perlakuan Hang Tuah ini;

“Baginda saw bersabda, ‘Nanti setelah aku akan ada seorang pemimpin yang tidak mendapat petunjukku dan tidak pula melaksanakan sunnahku. Nanti akan ada di tengah-tengah mereka orang-orang yang hatinya adalah hati setan, namun jasadnya adalah jasad manusia.’

Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, apa yang harus aku lakukan jika aku menemui zaman seperti itu?’

Baginda saw bersabda, ‘Dengarlah dan taat kepada pemimpinmu, walaupun mereka memukul punggungmu dan mengambil hartamu. Tetaplah mendengar dan taat kepada mereka.’ (HR. Muslim no. 1847).”