Kita Perlukan PAS Untuk Menang PRU – Wan Azizah

1754
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa pintu sentiasa terbuka untuk PAS menyertai pakatan pembangkang yang baharu walaupun terdapat penolakan secara terang-terangan oleh parti Islam itu sebelum ini.

Dr Wan Azizah berkata, PAS perlu turut serta kerana pakatan memerlukan bilangan untuk memenangi pilihan raya umum (PRU).

“Untuk menang pilihan raya, kita perlu ada calon untuk menang bertanding. Kita perlukan semua orang,” katanya ketika ditanya sekiranya PKR yakin dengan Parti Amanah Negara (Amanah), parti yang menghimpunkan bekas pemimpin PAS.

“Jika kita bersama, majoriti akan menang,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Dr Wan Azizah berkata, PKR telah menjemput PAS untuk menghadiri perbincangan meja bulat mengenai pembentukan pakatan baharu yang dijadualkan pada Selasa.

PAS dilaporkan tidak akan menghadiri perbincangan itu kerana mereka tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah.