“Khalid Jangan Hanya Cakap Belakang” – Azmin

120
0
SHARE

SHAH ALAM: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali membidas tindakan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang mahu menaikkan tarif air yang boleh membebankan rakyat di negeri ini.

Mohamed Azmin berkata, Abdul Khalid tidak memahami perkara ini dengan jelas.

“Sudahlah dia tak hadir ke sidang dewan, selepas itu mempertikaikan kenyataan saya melalui Twitter.

“Kalau nak berdebat, dia kena hadir dewan, mana yang tak puas hati boleh diperdebatkan, bukannya cakap-cakap belakang,” katanya secara sinis ketika membuat penggulungan pada Sidang Dewan Negeri, semalam.

Adun Bukit Antarabangsa itu turut mengingatkan Abdul Khalid supaya mengingati semula keputusannya yang mahu menaikkan tarif air tidak melebihi 12 peratus pada 17 Jun 2013 lalu.

“Dia yang nak naikkan tarif air dulu, dia sudah lupa ke? Inilah Melayu mudah sangat lupa.

“Sekurang-kurangnya saya mengambil pendirian yang bertanggungjawab dengan meneliti terlebih dahulu implikasi kewangan sama ada kita berkemampuan atau tidak untuk menyerap kos,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut meluahkan kekesalan dengan laporan berhubung kenaikan tarif air di negeri ini yang didakwa bakal membebankan rakyat di Selangor.

Menurutnya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman ke atas sebuah stesen televisyen.

“Saya kesal kerana jawapan penggulungan yang saya berikan di Dun Selangor, kelmarin telah diputar belit sebahagian media yang didakwa cuba merosakkan imej kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor didesak menghentikan sikap hipokrit dan berdolak-dalik kerana tiada rasional munasabah untuk menaikkan tarif air.

Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bangkit mempertikai alasan yang dikemukakan Mohamed Azmin berhubung kenaikan tarif air selepas selesainya sepenuhnya proses pengambilalihan empat syarikat konsesi air.

“Pengumuman Azmin itu jelas bercanggah dengan semangat dan hasrat asal pengambilalihan industri perkhidmatan air oleh kerajaan negeri daripada syarikat konsesi.

“Berdasarkan perancangan awal, kenaikan tarif air hanya akan dipertimbangkan selepas tiga hingga empat tahun industri perkhidmatan air berjaya distruktur semula sepenuhnya. Manakala sebarang kenaikan dijamin tidak akan melebihi 12 hingga 15 peratus setiap tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan akhbar. – SINAR