Khairy Tegas Pandangan Isu Pertukaran Pegawai SPRM, Tak Kisah Ditegur

535
0
SHARE

KLANG: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau tidak bimbang akan ditegur kerana bersuara mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tidak, saya tidak risau kerana saya percaya kita perlu menegakkan apa yang betul.

“(Kita perlu) memelihara kebebasan institusi dan bercakap tanpa gentar dan pilih kasih,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat perwakilan Wanita dan Puteri Umno bahagian Klang di sini, malam Sabtu.

Khairy pada Jumaat berkata, pegawai SPRM perlu menjalankan tugasnya tanpa intimidasi dan institusi seperti SPRM perlu dilindungi dan dibenarkan menjalankan hal ehwalnya secara bebas.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pertukaran Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob ke Jabatan Perdana Menteri pada Jumaat.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengatakan bahawa beliau tidak mahu dikelilingi “yes men” dan ia menunjukkan Najib menghargai perbezaan pendapat.

“Ini yang saya lakukan. Saya cuba untuk menyampaikan pandangan peribadi saya mengenai isu ini yang saya percaya bukan sahaja akan menimbulkan kebimbangan di kalangan kakitangan SPRM tetapi juga ramai penjawat awam.

“Saya tidak risau kerana kita lakukan apa yang dirasakan betul,” jelas Khairy.