Khairy Gesa Penyokong Harimau Malaya Tidak Cepat Melatah

15
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menggesa penyokong Harimau Malaya tidak melatah selepas pasukan bola sepak negara kalah 7 kali berturut-turut .

Khairy meminta penyokong melihat kekalahan anak buah jurulatih Nelo Vingada dalam konteks yang menyeluruh, dan memberi ruang kepada pengendali baharu memperbaiki prestasi pasukan.

“Kita kena lihat prestasi pasukan kebangsaan dalam konteks lebih menyeluruh. Jangan mudah beri kecaman. Prestasi mencerminkan struktur bola sepak sedia ada yang memerlukan masa untuk baiki.

“Memang pasukan senior dihantui struktur yang bertahu lama. Bukan senior tidak bagus, tapi mereka mencerminkan struktur pengurusan tempoh itu,” katanya kepada pemberita menghadiri dialog TN50 bertajuk Pemimpin Generasi Baharu Felda Aspirasi Menuju Tahun 2050 di menara Felda hari ini.

Khairy merujuk kepada kekalahan pasukan bola sepak negara yang masih dibayangi struktur pengurusan lama yang sedang melalui proses penambahbaikan bawah pegurusan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mengulas lanjut Khairy berkata beliau cukup yakin perancangan jangka panjang menerusi pembangunan peringkat akar umbi FAM bakal mengubah prestasi pasukan pada masa akan datang.

“Dari segi pembangunan bola sepak hari ini, prestasi kejayaan yang dicatat oleh pasukan bawah umur 15, 18 dan 23 lebih cerah, FAM sedang usahakan sistem yang lebih tersusun iaitu supaya lebih ramai lagi peringkat akar umbi main dalam liga dengan lebih tersusun.

“Saya faham bila kalah, ramai kecam dan kritik, tapi ini projek jangka panjang. Perlu ada semangat nasional untuk beri sokongan. Jangan tahun ini kurang berjaya, terus hukum kerana pasukan bola sepak negara banyak kejayaan bawah umur. Ada sinar di hujung terowong sukan bola sepak negara. Jangan cepat menghukum dengan apa yang berlaku,” katanya lagi.

Terdahulu, lagenda bola sepak negara Datuk Santokh Singh melahirkan rasa kecewa susulan kegagalan Harimau Malaya melakar sebarang kemenangan dalam 7 aksi berturut-turut dimana yang terbaru, pasukan itu tewas 1-4 menentang Korea Utara.

Pada waktu sama, beliau menyarankan Vingada melepaskan jawatan ketua jurulatih sebagai tanda maaf kepada seluruh peminat bola sepak tempatan.

Santokh yang pernah berjuang pada kelayakan Sukan Olimpik 1980 hingga berjaya menempah slot ke Moscow berkata ianya sesuatu mengejutkan apabila Vingada masih diberi peluang membimbing pasukan negara meskipun gagal raih kemenangan sejak 6 bulan lalu.

“FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sekarang makin pelik. Saya rasa kita satu-satunya pasukan di dunia yang masih simpan jurulatih biarpun kalah dalam tujuh perlawanan. Kalau negara lain dah lama tukar,” katanya sebagaimana dipetik Berita Harian.

Mengulas kritikan Santokh, Khairy berkata tindakan menukar ketua jurulatih tidak akan menyelesaikan masalah selagi struktur pengurusan pasukan tidak diubah sepenuhnya.

“Kena lihat pada masalah dari segi konteks lebih luas, tindakan cepat tukar jurulatih tidak akan menyelesaikan masalah 100% kerana masalah ini sudah lama,” kata Khairy.

Sambil mengatakan pengurusan sedia ada perlu diberi ruang untuk membangunkan pasukan kebangsaan, Khairy menegaskan yang tiada peningkatan dapat berlaku secara mendadak dalam 1 malam.