Khairuddin Direman 6 Hari Terlibat ‘Aktiviti’ Jejas Demokrasi Berparlimen

289
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin Umno bahagian Pulau Pinang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ditahan reman selama 6 hari bagi membantu siasatan polis atas dakwaan melakukan percubaan untuk menggulingkan kerajaan.

Proses reman berlangsung di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi selepas lebih 12 jam beliau ditahan pihak polis di rumahnya di Kuala Lumpur, semalam.

Khairuddin sepatutnya berlepas ke Amerika Syarikat pagi semalam tetapi dihalang daripada meninggalkan negara oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Khairuddin memberitahu The Malaysian Insider, polis mengarahkan Jabatan Imigresen menyekat beliau daripada meninggalkan Malaysia.

Peguam utama Stanley Augustine mengesahkan, polis berjaya mendapatkan reman 6 hari mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

Augustine berkata majistret menyatakan sebab mengenakan reman 6 hari atas Khairuddin itu.

“Kami berhujah panjang tentang perkara itu. Anak guam saya tak pernah mengata buruk tentang orang lain di luar negara.

“Dia hanya ke luar negara untuk membuat laporan meminta pihak berkuasa memeriksa kesahihan maklumat yang ada,” kata Augustine.

Beliau berkata polis memberi alasan pihaknya, mengatakan Khairuddin memberi dokumen palsu kepada pihak berkuasa di luar negara.

Proses reman bermula pada pukul 11.30 pagi dan berakhir satu jam setengah kemudian.

Bekas naib ketua bahagian Umno Batu Kawan itu diwakili 6 peguam termasuk Matthias Chang, seorang peguam terkenal yang juga dihalang daripada meninggalkan negara bersama Khairuddin semalam.

Perintah tahanan remannya itu akan tamat pada Khamis.

“Anak guam saya memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis. Beliau mengadakan pertemuan dengan unit Jenayah Komersial sejak membuat laporan mengenai 1MDB pada Disember 2014,” kata Augustine.

Khairuddin dalam posting Facebooknya semalam berkata, polis memanggil beliau untuk disoal siasat di Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada Isnin, jam 11 pagi.

Beliau juga menyatakan dimaklumkan oleh pegawai penyiasat yang beliau akan disoal kerana menyerahkan keterangan berkaitan skandal 1MDB kepada Jabatan Peguam Negara Switzerland.

Khairuddin menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa Switzerland pada 20 Ogos, dan menggesanya menyiasat aktiviti cabang pelaburan negara yang dibebani hutang tersebut, yang melibatkan bank di negara itu dan bank antarabangsa.

“Saya berhak membuat laporan di mana-mana negara di dunia ini, dengan syarat ia selaras dengan undang-undang antarabangsa,” tulis Khairuddin.

Beliau menegaskan, tindakannya semata-mata demi kepentingan negara dan beliau mempunyai locus standi membuat laporan kepada pihak berkuasa Switzerland.

Beliau memberi jaminan untuk bekerjasama dengan pihak polis, sambil menambah beliau akan muncul di Bukit Aman pada Isnin seperti diminta.

Khairuddin, yang dipecat daripada Umno awal tahun ini kerana jatuh bankrap, membuat laporan dengan polis di Hong Kong, Britain dan Perancis berhubung 1MDB pada Julai dan Ogos.

Dalam respons mereka, pegawai Putrajaya menuduh Khairuddin membuat “laporan polis palsu yang bermotifkan politik” dan membawa agenda yang sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, yang konsisten mendesak Najib untuk berundur. – INSIDER