Khairuddin Abu Hassan Sabotaj Negara – KPN

162
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menganggap tindakan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menggunakan saluran perundangan asing untuk mengenakan tekanan antarabangsa terhadap Malaysia berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai mensabotaj negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan itu jelas merupakan langkah yang bertujuan mencabar sistem perundangan Malaysia.

“(Ia turut) mencalar kredibiliti agensi penguatkuasa tempatan dan mengundang campur tangan asing dalam sistem demokrasi negara ini.

“Tindakan beliau ini merupakan satu bentuk sabotaj yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kedaulatan negara ini.

“Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan maklumat yang disalurkan oleh Khairuddin kepada agensi-agensi asing berkenaan, adalah palsu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, lewat malam Ahad.

Khalid membuat kenyataan itu sebagai menjawab dakwaan Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini, kononnya PDRM dipergunakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengelak pembongkaran kes 1MDB.

Khalid berkata Khairuddin, yang telah membuat laporan polis mengenai isu 1MDB, seharusnya memberi ruang dan peluang kepada agensi-agensi penguatkuasa tempatan untuk menjalankan siasatan.

“Namun, beliau (Khairuddin) tetap memilih untuk menggunakan saluran perundangan asing khususnya di Britain, Hong Kong, Perancis dan Amerika Syarikat dengan tujuan mengenakan tekanan antarabangsa ke atas Malaysia,” katanya.

Khairuddin kini ditahan reman enam hari mulai Sabtu di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Media tempatan melaporkan Khairuddin didakwa sedang merancang untuk meminta Amerika Syarikat campur tangan dalam hal ehwal Malaysia.

Beliau ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di kediamannya di Mont Kiara di sini pada Jumaat, yang dipercayai berkaitan dengan siasatan membabitkan 1MDB.