Kewangan 1MDB Tenat, Tiada Bank Sanggup Bantu Percuma – Rafizi

180
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tiada mana-mana negara, bank atau institusi kewangan di dunia yang akan memberikan bantuan kewangan secara percuma kepada 1MDB kerana kedudukan kewangannya yang tenat.

Dakwaan itu dibuat oleh Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

“Sebarang bantuan atau suntikan kewangan sudah tentu akan diberikan dengan syarat-syarat yang begitu ketat dan menguntungkan mereka sebagai timbal balik kepada risiko kewangan besar yang mereka tanggung,” katanya daam kenyataan media pada Khamis.

Katanya, dengan kedudukan kewangan 1MDB yang tenat, janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyelesaikan masalah 1MDB dalam tempoh enam bulan amat membimbangkan.

Katanya, jika Najib berjanji untuk menyelesaikan masalah itu dalam tempoh terdekat, ia bermakna sudah ada persetujuan mengenai urusniaga kewangan dengan pihak ketiga yang besar.

“Rundingan itu juga berkemungkinan akan meletakkan rakyat dalam keadaan tersepit hingga merugikan lagi rakyat.

“Saya menyeru supaya sebelum sebarang urusniaga kewangan yang melibatkan suntikan dana kepada 1MDB dipersetujui, butiran setiap urusniaga kewangan itu (baik yang melibatkan Kerajaan Persekutuan, badan pelaburan milik rakyat, agensi kerajaan atau pun pihak swasta/pihak ketiga) perlulah dibentangkan secara terperinci di Parlimen dan dibahaskan terlebih dahulu,” katanya.

Sehubungan itu, Rafizi menggesa Perdana Menteri menjawab secara terperinci beberapa persoalan mengenai urusniaga kewangan yang mungkin berlaku itu.

1. Apa terma terperinci yang melibatkan tanggungan kerajaan dan rakyat?

2. Berapa jumlah kos keseluruhan yang melibatkan dana awam?
3. Adakah urusniaga itu melibatkan apa-apa harta atau tanah milik awam?

4. Adakah pihak yang menyuntik dana akan mendapat apa-apa kontrak atau balasan kewangan lain yang tidak berkaitan dengan 1MDB tetapi ditanggung/dianugerahkan oleh Kerajaan Malaysia atau mana-mana agensi milik Kerajaan Malaysia?

5. Adakah Kerajaan Malaysia memberikan sebarang jaminan untuk menanggung hutang/suntikan dana baru ini?

6. Siapakah individu-individu terbabit (di depan dan di belakang) yang merundingkan dan akan mendapat keuntungan dari urusniaga itu? – FMT