Kes Kepialu: DBKL Tidak Teragak-agak Tarik Lesen Premis

119
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan tidak teragak-agak untuk mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menarik semula lesen perniagaan jika ada pengusaha premis yang masih berdegil menggunakan pekerja asing dalam penyediaan makanan.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau telah meminta Bahagian Perlesenan DBKL untuk melakukan pemantauan di premis-premis makanan dalam usaha menangani wabak demam kepialu yang melanda Kuala Lumpur.

“Saya sudah minta Bahagian Perlesenan untuk memantau dan membuat tindakan sewajarnya. Kita akan panggil (jika didapati ingkar arahan).

“Kalau mereka masih lagi tidak ikut (syarat yang dikeluarkan DBKL), kita akan tarik balik lesen (perniagaan),” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Tambah Tengku Adnan, pihaknya sedang meneliti laporan mengenai wabak demam kepialu yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Jelasnya, Jabatan Kesihatan DBKL akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan cara terbaik dalam mencegah demam kepialu yang melanda ibu negara.

“Kita meneliti masalah yang sedang disebutkan oleh Kementerian Kesihatan. Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memantau dan kita akan bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan untuk memastikan bagaimana cara-cara untuk mencegah demam yang sedang melanda ibu kota negara kita sekarang,” katanya.

Buat masa ini, Tengku Adnan menegaskan beliau hanya berpuas hati dengan pengurusan premis makanan di sekitar Jalan Alor, di sini.

Sebelum ini, DBKL telah mengarahkan pengusaha-pengusaha premis makanan untuk tidak menggaji pekerja asing sebagai tukang masak di premis mereka.

Sebaliknya, warga asing hanya dibenarkan untuk menghidang mahupun bekerja sebagai pencuci sahaja.

“Saya sudah cakap…banyak sangat orang asing jadi tukang masak, akan jadi masalah. Dulu saya cakap berkenaan (isu) tikus, orang marah. Bila saya sebut berkenaan peminta sedekah, orang marah,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 32 kes demam kepialu telah dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) setakat 18 Oktober.

Sehingga Ahad, daerah Titiwangsa mencatat bilangan kes tertinggi iaitu 16 kes, diikuti Kepong (8), Lembah Pantai (4) dan Cheras (4).