Kerajaan Tidak Harus Tanggung Pampasan Tinggi Kepada Pemegang Konsesi Tol

136
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan berpendapat ia tidak harus terus menanggung pampasan yang sangat tinggi yang dibayar kepada syarikat konsesi lebuh raya dalam usaha mengekang kenaikan kadar tol, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM510 juta bagi tempoh Januari-Oktober tahun ini susulan keputusan menangguhkan kenaikan kadar tol yang sepatutnya dilaksanakan pada Januari lepas.

Bercakap dalam program Soal Jawab terbitan TV3 malam Rabu, beliau berkata jumlah itu lebih tinggi berbanding RM403 juta pampasan yang dibayar kepada syarikat konsesi pada tahun lepas.

“Kerana itulah kita membenarkan syarikat konsesi menaikkan kadar tol,” katanya sambil menambah kenaikan itu dilakukan mengikut perjanjian konsesi yang dimeterai sebelum ini.

Beliau berkata kenaikan itu hanya melibatkan lebuh raya dalam bandar dengan kadar kenaikan maksimum RM1.

Menurut Abdul Wahid, langkah itu membolehkan kerajaan membelanjakan sumber kewangannya untuk kepentingan rakyat seperti menyediakan kemudahan seperti sekolah dan klinik.