Kerajaan Terus Pantau Harga Minyak Dunia – Wahid Omar

122
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memantau harga minyak mentah untuk mengenal pasti sama ada harga di bawah AS$40 merupakan harga baru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, jika itu harga baharu minyak mentah, maka kerajaan perlu melakukan penyelarasan terhadap Bajet 2016.

“Masih ada beberapa hari lagi sebelum Januari 2016 bermula. Kita akan terus memantau harga minyak dari sekarang,” katanya dalam syarahan di Universiti Teknologi Malaysia di sini.

Bagaimanapun, Abdul Wahid berkata, ia tertakluk kepada Kementerian Kewangan untuk membuat keputusan sama ada perlu dan bila untuk membuat semakan tersebut.

Dalam Bajet 2016, kerajaan mengunjurkan harga minyak pada purata AS$48 setong tetapi pada hari ini Brent didagangkan di bawah AS$38 setong.

Bagaimanapun, beliau yakin harga minyak akan melonjak kembali pada separuh pertama 2016.

“Ia boleh melonjak pada bulan Disember 2016, ia boleh berlaku pada bulan Jun. Saya percaya harga minyak tidak akan berada pada paras rendah pada jangka panjang.

“Mungkin pengeluar-pengeluar minyak di Timur Tengah mengeluarkan minyak pada kos serendah AS$20 setong. Tetapi Amerika Syarikat pula mengeluarkan minyak syal pada harga melepasi AS$40 setong.

“Kalau ia berlaku, Amerika Syarikat akan menutup telaga minyak kerana sudah tidak ekonomikal bagi negara itu,” ujarnya.