Kerajaan Terus Bantu Masyarakat India – Najib

40
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi pendirian kerajaan untuk terus membantu masyarakat India dalam meningkatkan struktur, budaya dan ekonomi mereka agar tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.

“Komitmen ini dapat dilihat dengan jelas melalui pelbagai inisiatif khusus yang telah kita laksanakan selama ini serta komitmen kita dalam Bajet 2016 dan Rancangan Malaysia ke-11 yang akan menghasilkan satu pelan induk bagi hala tuju pembangunan sosioekonomi kaum India,” katanya dalam perutusan sempena Hari Deepavali menerusi blog NajibRazak.com pada Ahad.

Sempena perayaan Deepavali yang akan disambut penganut agama Hindu pada Selasa ini, Najib berharap cahaya sambutan itu akan menerangi kehidupan semua rakyat Malaysia untuk hidup dalam aman dan harmoni.

“Dalam kita menyambut pesta cahaya yang membawa pengertian kejayaan cahaya mengatasi kegelapan dan kebaikan menumpaskan kezaliman, janganlah kita lupa untuk menerangi kehidupan mereka di sekeliling kita yang memerlukan bantuan dan pertolongan kita.

“Gunakanlah kesempatan seperti ini untuk melipatgandakan usaha kita demi memberi harapan yang lebih baik kepada masyarakat sekitar,” katanya.

Najib berkata beliau yakin perayaan Deepavali akan disambut dengan penuh semangat muhibbah kerana sambutan sebegini dapat memupuk tali persaudaraan dan keharmonian yang lebih kukuh di kalangan semua kumpulan etnik di Malaysia.

“Sebagai sebuah negara, kita berasa amat bertuah kerana kita dapat mengamalkan tradisi-tradisi yang telah diamalkan sejak turun-temurun.

“Hidangan juadah yang enak dan keindahan rumah yang diterangi cahaya dan suasana kegembiraan adalah sesuatu yang dapat kita lihat ketika mengunjungi rumah terbuka sahabat-sahabat Hindu kita,” kata Perdana Menteri.

SHARE
Previous articleNak Haramkan “Vape”? Haramkan Rokok Juga – Khairy
Next articleBN Hilang Sejuta Pengundi Jika Gagal Tangani Isu “Vape” – IKHLAS