Kerajaan “Tak Jujur” Kenakan GST – Rafizi

17
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas lebih 60 jenis makanan mulai bulan depan ketika rakyat memberi tumpuan kepada skandal besar negara dianggap PKR sebagai tidak jujur.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata kerajaan seolah-olah mengambil kesempatan atas perhatian besar diberikan rakyat kepada isu 1MDB.

“Tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak terus mengenakan GST ke atas bahan-bahan makanan asas bertentangan dengan janji awal BN kononnya cukai itu tidak membebankan apabila bahan makanan didakwa tidak dikecualikan.

“Tindakan mengenakan GST secara diam-diam ke atas bahan makanan ketika rakyat menumpukan perhatian kepada skandal besar negara adalah tidak jujur; seolah-olah mengambil ksempatan atas tumpuan rakyat kepada skandal besar 1MDB,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Media hari ini melaporkan, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Subromaniam Tholasy, mengesahkan GST akan mula dikutip ke atas lebih 60 jenis bahan makanan yang sebelum ini berkadar sifar.

The Star Online menyatakan antara bahan makanan itu ialah belut, ikan todak dan buah-buahan import seperti avokado, buah ara, anggur dan ceri.

Sayur-sayuran seperti kentang, kacang panjang, bayam dan jagung manis pula dikeluarkan daripada senarai GST sifar.

Bahan lain termasuk bihun, kuetiau mi laksa dan minyak kelapa.

GST akan mula dikenakan ke atas bahan makanan berkenaan mulai 1 Julai ini.

Kata Rafizi, kerajaan perlu membatalkan rancangan melaksanakan GST pada bahan makanan itu kerana ia hanya akan melonjakkan kadar inflasi dan secara langsung membebankan rakyat berpendapatan rendah.

“Ini memburukkan lagi masalah kenaikan harga barang yang sudah pun teruk,” katanya.

Anggota parlimen Pandan itu juga menegaskan, walaupun sayur-sayuran dan bahan makanan diimport itu dikenakan cukai atas dasar ia dianggap produk mewah, ia tetap memberi kesan kepada sebahagian besar bahan makanan yang banyak digunakan rakyat negara ini,

“Ini adalah kerana sebahagian besar sayur-sayuran dan bahan makanan mentah kita diimport kerana kekurangan bekalan domestik,” katanya.

Bagaimanapun Rafizi mengingatkan, pelaksanaan GST serta kenaikan harga bahan keperluan orang ramai turut memberi kesan positif terhadap sokongan rakyat kepada pembangkang.

“Tindakan mengutip GST ke atas bahan makanan akan menarik minat lebih ramai rakyat kita untuk datang ke sesi penerangan Pakatan Harapan,” katanya.

GST yang berkadar 6 peratus mula dilaksanakan di negara ini pada 1 April 2015. Ia dikatakan banyak pihak sebagai punca kepada kenaikan harga pelbagai barang keperluan harian di negara ini.

Pada 4 Februari lalu, Malaysiakinimelaporkan, KDRM menyasarkan kutipan GST bagi tahun ini ialah sebanyak RM42 bilion.

Kata Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman dan GST) KDRM, Datuk Zulkifli Yahya, setakat ini kira-kira 433,000 syarikat didaftarkan di bawah GST sejak sistem percukaian baru itu dikuatkuasa.

Pada 2016 pula, jumlah kutipan GST ialah sebanyak RM41.2 bilion atau melebihi sasaran awal sebanyak RM38.5 bilion. – MK