Kerajaan Sendiri Patut Buat Dua Kerja – Nik Abduh

100
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz berkata kenaikan kos sara hidup mampu ditangani sekiranya kerajaan sendiri ‘melakukan dua kerja’ dan ‘bekerja lebih masa’.

Beliau merujuk saranan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan yang meminta orang ramai melakukan dua kerja bagi mengurangkan kos sara hidup.

“Ia sesuatu yang ironi apabila kerajaan menggalakkan rakyatnya bekerja lebih masa sedangkan kenaikan kos sara hidup mampu ditangani jika kerajaan sendiri bekerja lebih masa’ untuk mengurangkan beban kepada rakyat,” katanya pada kenyataan media.

Nik Abduh berkata negara lain seperti Sweden umpamanya mengurangkan waktu bekerja kepada enam jam sehari dan masa terluang diperuntukkan untuk aktiviti sosial, sekaligus menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat.

Perkara itu katanya tidak berlaku di Malaysia.

“Para pekerja terpaksa keluar di awal pagi mengelakkan kesesakan kemudian balik di lewat petang kerana jadual bekerja termasuk kesesakan yang teruk dan cadangan tambahan kerja pula dilakukan pada waktu malam,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata asas kepada masalah ini adalah gaji tidak sepadan, di samping polisi ‘separuh masak’ seperti pelaksanaan Cukai GST dan kenaikan tambang pengangkutan yang menyumbang kenaikan harga barang dan kos sara hidup keseluruhannya.

Justeru katanya, Dewan Pemuda PAS menegaskan supaya kerajaan memberi perhatian mendalam terhadap masalah rakyat selain membantu mengurangkan kos sara hidup yang disifatkan semakin parah ketika ini.

“DPPM juga menyarankan kerajaan supaya terlebih dahulu melakukan 2 kerja iaitu melaksanakan tugas sebagai kerajaan dengan penuh amanah dan menyelesaikan masalah kos sara hidup sebelum memberi saranan 2 kerja kepada rakyat,” katanya.

SHARE
Previous articleAhmad Maslan Lebih Baik Diam – Nik Nazmi
Next article#2Kerja: Tak Minat Tak Perlu Marah-Marah – Ahmad Maslan