Kerajaan Mungkin Digulingkan Jika Tiada Langkah Diambil – Zahid

144
0
SHARE

KOTA BELUD: Kerajaan mungkin digulingkan dengan cara tidak demokratik sekiranya tiada langkah-langkah diambil untuk mengelakkan perkara itu daripada berlaku, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau terpaksa mendedahkan rancangan membabitkan pembangkang dan beberapa pemimpin ‘bersara’ supaya menghentikan rancangan mereka.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya menerima maklumat yang tepat mengenai apa yang mereka lakukan dan menyelesaikan masalah itu.

“Mereka merancang untuk mewujudkan kerajaan perpaduan. Namun matlamat sebenar mereka adalah untuk merampas kuasa melalui pintu belakang,” katanya pada majlis perasmian mesyuarat Umno Bahagian Kota Belud pada Ahad.

Beliau berkata, mereka yang terlibat dalam rancangan tersebut tidak boleh menunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk mengambil alih kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi cara demokratik.

Pada Ahad, Dr Ahmad Zahid berkata beliau yakin rakyat Malaysia akan menolak sebarang usaha untuk melemahkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Pada minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri itu mendedahkan bahawa seorang tokoh Umno terlibat dalam komplot menjatuhkan kerajaan melalui undi tidak percaya di Parlimen dengan sokongan pemimpin pembangkang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata status Sabah sebagai “simpanan tetap” BN akan cair sekiranya pemimpin parti itu gagal mengekalkan hubungan erat dengan rakyat dan ahli di peringkat akar umbi.

“Apa yang penting untuk kita adalah menjaga keperluan rakyat,” katanya.