Kerajaan Mahu Wujudkan Kelas Usahawan Bumiputera Mantap – Najib

237
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkenal dan melaksanakan pelbagai program bagi menghasilkan satu kelompok atau kelas usahawan Bumiputera yang lebih teguh dan mantap terutama apabila negara mencapai status negara maju pada 2020, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, walaupun pelbagai usaha untuk merealisasikan matlamat itu telah dilaksana dan ada sedikit kejayaannya, namun ia tidak menampakkan kejayaan sepenuhnya terutama dari segi bilangan dan kedudukannya untuk bersaing dalam pasaran.

Kita telah berjaya selama ini untuk mewujudkan kelas menengah Bumiputera, melalui dasar-dasar kerajaan yang telah mencetuskan apa yang disifatkan sebagai ‘social mobility’ iaitu mereka yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan profesional, mereka yang mendapat tempat di institusi pengajian tinggi, yang mendapat kelulusan akademik.

“Namun satu lagi usaha kita ialah untuk mewujudkan satu lagi kelompok dalam komuniti Bumiputera iaitu dalam kalangan para usahawan,” katanya semasa berucap melancarkan BAHTERA Bumipreneurs of Tomorrow, di sini hari ini

Mengenai BAHTERA, Najib berkata ia adalah satu lagi inisiatif baharu yang juga satu platform mengumpul data mengenai usahawan Bumiputera dan boleh digunakan untuk pemerkasaan mereka.

Katanya, dengan adanya data itu nanti, maka kerajaan boleh menyampaikan maklumat secara lebih fokus kepada komuniti usahawan Bumiputera tentang bagaimana mereka boleh mengembangkan aktiviti keusahawanan mereka.

“BAHTERA ini juga membolehkan usahawan menjalin hubungan dalam perniagaan dan menyokong supply chain (rangkaian bekalan) antara satu usahawan dengan usahawan lain, dan untuk mereka mendapatkan produk dari usahawan lain,” katanya.

BAHTERA adalah program kesedaran untuk menyediakan usahawan Bumiputera menghadapi alam perniagaan dengan menggunakan teknologi, model perniagaan baharu dan rangkaian niaga untuk memastikan daya kemampanan.

Program dua hari yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini itu menyediakan pelbagai agenda yang memfokuskan untuk membangun dan mengembangkan perniagaan.

Ia adalah inisiatif Kementerian Kewangan dan Unit Strategi Nasional yang turut disertai oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan selain syarikat-syarikat dari komuniti usahawan Bumiputera yang turut menyediakan perkongsian ilmu dan bengkel keusahawanan.