Kenapa PAS Takut DAP? – Muhamad Irfan Iskandar

268
0
SHARE

TAHNIAH buat PAS kerana DAP tidak lagi takut kepada perjuangan Islam. Bunyinya menarik, ia menggambarkan kejayaan terbesar PAS dalam melaksanakan tanggungjawab berdakwah kepada sebuah parti yang terlalu banyak kecelaruan tindakan.

Sebagai parti politik, PAS dan DAP tidak pernah hidup aman kerana mereka saling bermusuhan atas prinsip berbeza dan kehendak yang tikam menikam.

DAP pernah tertikam dengan kenyataan PAS yang bertentangan antara pemimpinnya kerana pemimpin PAS amat besar eksploitasinya meskipun ia hanyalah bermula secara luaran atau pinggiran.

Baru-baru ini Nik Aziz bermain lagi dengan politik bohong kerana percayakan DAP sehingga sanggup merestui kemungkinan logo PAS digunakan seandainya gagal menggunakan simbol roket.

DAP bermain dengan politik setelah Pendaftar Pertubuhan memberikan gambaran bahawa Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) adalah tidak diiktiraf atas sebab tindakan Lim Guan Eng yang tidak hati-hati. Ia bukan berlaku sepuluh atau dua puluh perwakilan, tetapi lebih 700 tidak dipanggil untuk membuat pemilihan pada pertengahan Disember lalu.

Mereka yang tidak dipanggil itu akhirnya sedar, Lim Guan Eng menjadi punca sebenar kenapa ramai penyokong DAP mula keluar parti dan menentang setiap keputusan yang diambil termasuk soal pemilihan calon untuk PRU-13.

Bila PAS membenarkan logonya digunakan oleh DAP, ia sudah tentunya dalam pemikiran pemimpin DAP bahawa PAS bukanlah parti Islam. PAS pun tidak lagi menyebut bahawa ia adalah sebuah parti Islam, hanya sekadar parti yang memperjuangkan Islam.

DAP sudah mengkaji secara mendalam apa fakta bahawa PAS bukanlah parti Islam? Pertama ialah PAS bukanlah sebuah nama yang terkandung secara jelas dalam kitab agama Islam, baik yang diturunkan oleh Allah SWT menerusi Nabi Muhammad SAW ataupun himpunan teladan dan pendirian Rasullullah SAW yang terkumpul sebagai hadis.

Kedua, PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 adalah berdasarkan akta yang digubal oleh British dalam usahanya mengawal pertubuhan-pertubuhan rahsia dan kongsi gelap daripada melakukan serangan dan penentangan pemerintahannya.

Penubuhan Hizbul Muslimin tidak mendapat kebenaran British, tetapi PAS diberikan kelulusan. Sebabnya, British boleh membaca, untuk memecahbelahkan orang Melayu, ia boleh dilakukan menerusi penggunaan agama, sama seperti usaha komunis untuk mendapat sokongan orang Melayu.

Kalau komunis menubuhkan Rejimen Ke-10 dengan membawa masuk lebih ramai anak-anak muda dari Temerloh, Mentakab dan Lipis, bagi menggambarkan bahawa Parti Komunis Malaya bukanlah menentang Islam, Chin Peng sedar, tanpa sokongan Orang Melayu, PKM tidak mungkin berjaya dalam misinya.

British belajar daripada kaedah itu, maka dibenarkan penubuhan PAS. Bila Orang Melayu berpecah atas dua perbezaan pendirian politik—berjiwa nasionalis dan berideologikan agama—maka lebih mudahlah mereka mengawalnya.

Ketiga, bila kita perhatikan logo PAS. Ia hanyalah sebuah bulatan kosong yang berada di tengah-tengah bendera berwarna hijau. Menurut pandangan umum, bulatan itu adalah simbol bulan.

Bulan bukanlah simbol yang mewakili Islam. Simbol itu boleh jadi apa-apa pun, meskipun begitu kita boleh terima kalau PAS katakan ia adalah bulan. Tapi bulannya kosong, tiada apa pun yang boleh kita terima sebagai kuat, perkasa dan gah.

Keempat, kerana simbol bulan yang kosong itulah DAP tahu bahawa semangat agama pemimpin PAS bukanlah kuat, cuma dilihat lebih keras dank eras apabila bertelagah sesama orang Islam. Bila berhadapan dengan DAP, semangat Islam PAS kaku dan bercelaru.

Isu penggunaan kalimah Allah membuktikan kecelaruan itu. Kalau sebelumnya, PAS lantang mengkritik kalau ada pemimpin UMNO berkata “politik suku, agama suku”—politik dan agama perlu dipisahkan bagi menjamin kesucian agama agar tidak disalahguna.

Kali ini, PAS beralih pendirian ketika penganut Kristian cadang guna istilah Allah bagi terjemahan God, Lord atau Yehweh dalam Bible, yang diterjemahkan ke bahasa Melayu. Pendirian itu sudah cukup, semangat Islam PAS adalah tidak cukup kuat.

Kini semakin jelas, Anwar mengakui bahawa deklarasi yang dianggap sebagai persetujuan pakatan pembangkang, sebenarnya idea Presiden PAS, lain-lain pemimpin hanya setuju kerana ia menggambarkan mereka sudah liberal dan terasuk dengan semangat pluralisme.

Kelima, PAS tidak pernah memberikan gesaan yang keras kepada Karpal Singh untuk menarik balik kenyataannya pada tahun 1995, dan tetap dengan pendirian itu, akan tentang dengan apa cara sekalipun keinginan PAS menegakkan negara Islam dan hukum Islam.

Keenam, PAS terlalu takut kepada DAP apabila secara terdesaknya tindak meneruskan tindakan MPKB mendakwa pemilik kedai gunting rambut unisex di Kota Bahru walaupun sudah disaman kerana melanggar peraturan tidak boleh menyediakan perkhidmatan kepada jantina yang bertentangan.

Ketujuh, PAS tidak pernah tegas dan bersungguh-sungguh membangun bersama Islam di Kelantan meskipun sudah memerintah selama 23 tahun. PAS hanya berjaya membangun Kelantan menjadi sebuah negeri yang memalukan umat Islam kerana banyak perkara unik dan pelik berlaku. Atas perbezaan politik, suami isteri bercerai. Atas perbezaan politik, anak-anak terabai.

Kelapan, Islam membenarkan rakyat bawahan menegur pemimpin sebagaimana asasnya diletakkan oleh Khalifah Umar al-Khattab dan cucundanya, Khalifah Umar Abdul Aziz. Tapi, Nik Aziz tidak boleh menerima pendapat dan pandangan orang lain, hatta daripada Presiden dan Timbalan Presiden PAS sendiri. Contohnya, perundingan membentuk “kerajaan perpaduan dengan UMNO” menyebabkan beliau memberitahu bahawa dialah sebenarnya nakhoda parti.

Kerana beliau adalah nakhoda, maka wajarlah PAS melakukan tindak membuang “buah busuk”. Akhirnya, Nasharudin Mat Isa tersingkir dalam jawatannya sebagai Timbalan Presiden dan dilucutkan peranannya sebagai ahli Majlis Syura Ulama PAS. PRU-13, Nasharudin tidak dicalonkan kerana jiwa pendendam Nik Aziz sendiri yang melihat bekas Timbalan Presiden itu boleh mengancam kedudukannya sebagai seorang ulama yang terlalu kuat berpolitik.

Kesembilan, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, PAS sepatutnya menunjukkan nilai-nilai tinggi terhadap moral, etika, kejujuran dan keikhlasan. Dari segi moral, PAS lebih gemar menyokong kepada perlakuan sumbang kerana mempertahankan Anwar yang bergelumang dengan masalah itu dan tidak bersedia menyiasat kebenaran seorang lelaki dalam video seks dengan seorang janda beranak dua mirip Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agungnya.

Kesepuluh, PAS sentiasa bercakap mengenai hakikat Islam mengenai prinsip keadilan dengan menyelar media pro BN tidak adil dalam membuat laporan terhadap parti itu. Sayang seribu kali sayang kerana PAS juga tidak pernah mengecam dan menegur akhbar Harakah yang tidak mengamalkan konsep pemberitaan yang adil, termasuk terhadap pemimpin PAS sendiri.

Bagaimana PAS memahami konsep keadilan? Keadilan ialah meletakkan hak di tempatnya, dan ini bermakna, PAS tidak pernah membudayakan keadilan dalam membuat laporan terhadap UMNO dan BN dalam media rasminya. Maknanya, PAS bukanlah sebuah parti Islam kerana Islam itu adil dan menjunjung tinggi kesaksamaan. – terangbulan.net