Kenapa Buat Pusingan U Selepas Tandatangan Perjanjian Dengan Bangladesh – PKR

171
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bagaimana Putrajaya boleh mengumumkan perubahan dalam dasar pengambilan pekerja asingnya selepas ia menandatangani memorandum persefahaman dengan Bangladesh berhubung kemasukan 1.5 juta warga negara itu, kata PKR hari ini.

Naib presiden parti Nurul Izzah Anwar berkata, keputusan mendadak itu menimbulkan tanda tanya berhubung proses penggubalan dasar kerajaan.

“Senaraikan semua syarikat-syarikat dan industrinya yang memohon dan memerlukan pengambilan pekerja daripada Malaysia. Berapakah jumlahnya?

“Berapakah peratus yang diwakili Malaysia daripada 139 negara yang diumum Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot?” soal ahli Parlimen Lembah Pantai itu merujuk kenyataan Richard pada Jumaat.
“Apakah status kejayaan pemutihan 6P sebelum ini dan kelangsungan program bagi memastikan lambakan pekerja asing tanpa izin dapat diselesaikan secara berperingkat?” soalnya lagi, dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mempersoalkan jika Putrajaya mempunyai rancangan menaik taraf kualiti pekerjaan supaya pekerja sektor 3D (kotor, berbahaya, sukar) sekalipun akan mendapat gaji berpatutan dengan tahap penjagaan minima, serta tidak terabai dan dilayan seperti hamba.

Nurul Izzah juga bertanya bilakah secara spesifiknya pelaksanaan gaji minima RM1,500 sebulan akan dilunaskan.

“Saya boleh menjamin pekerja Malaysia boleh bekerja di kilang-kilang, bidang pembinaan serta perkhidmatan, jika gaji minima dilaksanakan,” katanya.

Beliau yang juga pengarah pilihan raya PKR itu juga mahu kerajaan menyatakan jumlah pekerja tempatan yang bekerja di luar negara dalam sektor 3D, terutamanya di Singapura.

Juga, bilangan pekerja tempatan yang bekerja dalam industri kasar seperti minyak & gas dan perkapalan.

“Ternyata, menteri dalam negeri beserta timbalannya wajib menjawab persoalan-persoalan di atas secara tuntas sebelum menuding jari kepada belia-belia Malaysia dan mencabar mereka untuk serta-merta bekerja di dalam sektor 3D dengan penggajian yang tidak setimpal!

“Menjadi kewajipan asas negara menyediakan pekerjaan dengan gaji yang baik, terutamanya untuk pekerja tempatan, ke arah negara yang lebih baik,” kata Nurul Izzah.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencabar belia negara mengambil pekerjaan dalam sektor yang kini dikuasai pekerja asing.

Ia berkisar debat mengenai keperluan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh dalam tempoh tiga tahun akan datang seperti diumumkannya Jun tahun lalu.

Beliau juga bertanya kepada sekumpulan belia pada satu majlis 14 Februari lalu, jika mereka mahu bekerja dalam sektor seperti perladangan dan industri berat, dan menerima jawapan “ya” yang penuh semangat.