Kenaikan Tambang Komuter Tidak Menguntungkan KTMB

96
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kenaikan tambang komuter oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkuatkuasa 2 Disember lalu tidak membawa keuntungan kepada syarikat itu.

Sebaliknya, Pengerusi KTMB, Sarbini Tijan berkata, syarikat itu menjangkakan akan mengalami kerugian sebanyak RM55 juta menjelang hujung tahun ini.

Katanya, KTMB terpaksa meminta bantuan kewangan atau ‘funding gap’ daripada Kementerian Kewangan bagi menampung kerugian yang dialami oleh syarikat berkenaan.

“Saya menghadap Menteri Kewangan, untuk dapatkan ‘funding gap’ sebanyak RM60 juta setahun. Setiap bulan saya kena bawa ‘mangkuk kosong’ untuk dapatkan bantuan.

“Kalau saya sendiri, saya mahukan kenaikan sebanyak RM0.25 sen perkilometer kerana kos untuk satu kilometer adalah RM0.20 sen. Barulah kita dapat untung. Tetapi, kerajaan tidak benarkan.

“Kenaikan harga tambang ini tidak menguntungkan kita. Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang kerajaan lakukan adalah untuk rakyat,” katanya dalam sidang media di Hab Pengangkutan Awam, KL Sentral.

Sarbini berkata, kenaikkan tambang sebanyak RM0.04 sen perkilometer itu tidak seharusnya dianggap membebankan kerana penumpang mendapat pelbagai faedah apabila menggunakan perkhidmatan komuter.

“Ia dapat kurangkan kos sara hidup, mengurangkan kesesakan, pencemaran dan juga tekanan perasaan,”ujarnya lagi.

Bukan itu sahaja, Sarbini juga menyatakan ketepatan masa bagi perkhidmatan komuter untuk sampai ke stesen juga telah meningkat sebanyak 97 peratus.

“Kalau dari segi perkhidmatan, ketepatan komuter kita lebih 97 peratus tepat dan dalam masa sama, ia merupakan salah satu pengangkutan awam yang paling selamat digunakan di negara.

“Sebab itu kita galakkan orang ramai naik komuter sebab ia lebih selamat dan lebih selesa,” katanya.

Sebelum ini, pengguna-pengguna komuter meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati kerana mendakwa kenaikkan kadar tambang itu telah meningkatkan kos perbelanjaan seharian mereka untuk bergerak ke tempat kerja.