Kenaikan Tambang Bas Sekolah Tahun Depan Belum Diputuskan

117
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tambang bas sekolah mungkin tidak wajar dinaikkan tahun depan, kata Persekutuan Pengusaha Persatuan Bas Sekolah Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Md Saad Mohamad berkata sebarang kenaikan atau perbincangan mengenai perkara itu adalah diantara pengusaha dan ibu bapa pelajar.

“Pengusaha dan ibu bapa membincangkan mengenai kadar bayaran yang sepatutnya dikenakan,” katanya kepada The Star Online.

Ketika ditanya sama ada pengusaha mungkin cenderung untuk menaikkan tambang, Md Saad berkata beliau tidak pasti mengenainya.

Beliau menganggarkan terdapat kira-kira 1,000 pengusaha di Semenanjung Malaysia dan setiap daripada mereka mempunyai cara sendiri untuk berbincang dengan ibu bapa.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Oktober tahun lalu menetapkan pengendali bas sekolah tidak akan terikat kepada satu struktur tambang tetap lagi tetapi bebas menentukan anggaran tambang masing-masing berdasarkan rundingan bersama pihak sekolah dan ibu bapa.

Sebuah akhbar harian Bahasa Inggeris melaporkan tambang bas sekolah akan dinaikkan pada tahun depan.

Kenaikan itu mungkin dilakukan berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Namun, Md Saad berkata harga alat ganti dan kos penyelenggaraan bas telah meningkat sejak GST dilaksanakan pada 1 April lalu.

Beliau membayangkan bahawa pengusaha mungkin sukar menampung kos operasi pada ketika ini kerana tambang bas sekolah tidak mengenakan caj GST.

“Saya tak boleh katakan bahawa dengan GST, tambang perlu dinaikkan. Walau bagaimanapun, tambang bas sekolah tidak mengenakan caj GST,” katanya.

Usaha untuk menghubungi pegawai SPAD bagi mengulas mengenai perkara ini tidak berhasil.

SHARE
Previous articleTiada Peluang Pekerjaan, Kata Ku Li Kepada Ahmad Maslan
Next articleRTM Cadang Wujudkan Saluran Berita TV Sepenuhnya – Salleh Keruak