Kementerian Kesihatan Arah Qu Puteh Tarik Balik Produk Ada Merkuri

636
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan syarikat kosmetik terkenal Vida Beauty menarik balik produk Qu Puteh keluarannya yang didapati mengandungi bahan merbahaya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, barangan itu diuji dan dikesan mengandungi merkuri tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik.

“Oleh itu, produk kosmetik Qu Puteh Whitening Pro 9 tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), KKM menerima laporan kesan advers daripada pengguna yang mengalami tinnitus (ringing in the ears) dan keguguran rambut setelah menggunakan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block (NOT151106645K) selama lebih kurang 3 bulan.”Pengguna pulih daripada kesan yang dialami apabila berhenti menggunakan produk-produk tersebut,” kata Noor Hisham.

Beliau berkata, BPFK membuat pensampelan dan menguji produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block.

“Hasil pengujian menunjukkan salah satu produk tersebut iaitu produk Qu Puteh Whitening Pro 9, dikesan mengandungi merkuri pada paras yang tinggi,” katanya.

Justeru, Noor Hisham berkata, notifikasi produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dibatalkan.

Syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk berkenaan juga diarahkan memberhentikan penjualan atau pembekalan dengan serta merta dan memanggil balik semua stok fizikal produk tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.

Kenyataan itu turut memaklumkan, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling apabila produk kosmetik yang mengandungi bahan itu disapu pada kulit meruap dan dihidu.

“Bayi dan kanak-kanak kecil berisiko terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut.

“Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Kementerian menasihatkan pihak yang mempunyai stok produk tersebut agar menghentikan penjualan, pengedaran dan penggunaannya dengan serta-merta.

Penjual adalah diingatkan pemilikan produk-produk ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Pengguna juga digalakkan melapor kepada BPFK mengenai sebarang kesan sampingan atau kesan advers yang dialami apabila mengguna sesuatu produk kosmetik serta mendapatkan rawatan perubatan dengan kadar segera.