“Kembalikan Keyakinan Rakyat Pada Perhimpunan Agung UMNO” – Irmohizam

576
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO pada Disember harus dijadikan medan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti terutama ketika Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 kelak.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata konsep kekeluargaan yang selama ini diterap di dalam parti harus diperkuat menjelang ulang tahun penubuhannya yang ke-70 tahun hadapan.

“Ia gerak kerja serta perancangan strategi untuk menawan kembali hati rakyat sebelum PRU ke-14. Ia perhimpunan yang bakal menjadi medan pengukuhan hati serta semangat setiap ahli untuk kembali bersatu.

“Ia bakal menjadi platform semua ahli menilai kembali kemampuan parti sekali gus membawa semangat pelindung UMNO sebagai pertahanan orang Melayu di negara ini,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata Irmohizam, Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada 8 Disember ini perlu diadakan dalam suasana kekeluargaan dan menjurus kepada medan untuk pengukuhan parti.

“Kita harus menilai semula krisis politik akhir-akhir ini yang berkait rapat dengan isu kestabilan politik negara.

“Kita juga harus melihat beberapa kaedah pelaksanaan terbaik Bajet 2016 yang dibentang perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini sampai ke akar umbi,” jelasnya.

Irmohizam menambah UMNO kini tidak mahu lagi dilabel beretorik dengan pelbagai program yang memberikan pandangan atau persepsi negatif pada masyarakat.

“Sebab itu jugalah saya melihat program yang dilakukan oleh Biro Latihan dan Pendidikan benar-benar memberikan erti dan makna khususnya bagi ahli UMNO yang telah mengikutinya.

“Ini antara agenda yang boleh kita fikirkan agar program pengkaderan khususnya dalam konteks generasi muda yang ada dalam negara kita ini dapat dilakukan dengan baik.

“Ini penting kerana bila UMNO berusia 70 tahun pada tahun hadapan, kita tidak hanya mahu berbangga pada pencapaian usia tersebut, namun mahu melihat masa hadapan parti UMNO yang lebih baik dan inilah yang perlu dibincangkan dalam perhimpunan kali ini,” katanya.

Irmohizam turut menaruh harapan agar sayap parti terus kreatif dalam program mereka untuk memastikannya terus relevan dalam golongan sasar masing-masing.

“Ia sangat penting untuk mengukuhkan sayap parti agar tunjang tidak goyang dengan asakan pihak tertentu yang mahu memecah-belahkan UMNO.

“Kita harus melihat kekuatan sayap sebagai penahan serta pelindung UMNO daripada menjadi mangsa provokasi atau propaganda pembangkang terutamanya yang tidak akan berhenti mengucar-kacirkan situasi dalaman parti.

“Ia penting demi memastikan UMNO sentiasa relevan dan menjadi kekuatan Melayu serta negara seiring pembangunan negara,” ujarnya. – AWANI

SHARE
Previous articleAmanah Jumpa Azmin Bincang Strategi Menangi PRU14
Next articlePolis Tak Akan ‘Membabi Buta’ Tangkap Tun M – Kadir Jasin