Kekal Dalam UMNO Bukti Muhyiddin Berjiwa Besar – Irmohizam

113
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai seorang yang berjiwa besar kerana membuat keputusan untuk kekal di dalam parti.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim, beliau sudah menjangkakan pendirian bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Keputusan itu melambangkan beliau berjiwa besar kerana yang paling penting ialah UMNO harus dilihat sebagai parti yang menunjangi kerajaan dan Barisan Nasional,” katanya kepada Astro AWANI semasa ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Katanya lagi, ini sekali gus memberi reaksi yang baik terutama kalangan anak muda terhadap kredibiliti parti keramat orang Melayu itu.

“Cuma apa yang saya ingin nyatakan, dalam UMNO, kita mempunyai perlembagaan, kita mempunyai etika, dan seksyen yang mana ia menjadi disiplin bagi setiap ahli baik pemimpin atau peringkat bawahan,” jelas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Menurut Irmohizam, sepanjang menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, beliau mengakui tidak pernah mendengar Muhyiddin menyatakan hasrat untuk keluar parti kerana mahu melihat UMNO kuat dalam menghadapi pilihan raya umum.

Namun, katanya, ia tidak bermakna Muhyiddin boleh menggunakan platform berkenaan untuk terus mewujudkan persepsi negatif masyarakat terhadap UMNO.

“Saya harap beliau tidak guna platform itu untuk mengeruhkan masyarakat sebab kita ada disiplin, etika dan saya amat berharap ia menjadi satu elemen kepada generasi muda dalam UMNO,” tegas Irmohizam.

Beliau bagaimanapun menafikan kenyataan Muhyiddin bahawa Majlis Tertinggi UMNO tidak memperhalusi keputusan penggantungan yang dibuat ke atasnya.

“Kita melihat semua peringkat, seksyen dan sebagainya. Majlis Tertinggi mengambil keputusan bahawa beliau digantung jawatan timbalan presiden, bukan ahli parti atau ketua UMNO bahagian kerana dalam sebuah organisasi, tugas timbalan presiden adalah membantu presiden,” katanya.

Jelasnya, penggantungan ke atas Muhyiddin dilakukan mengikut proses perundangan sehingga Lembaga Disiplin turut menyerahkan isu berkenaan kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk membuat keputusan.

“Proses perundangan telah dilaksanakan dengan memenuhi aspirasi undang-undang dalam UMNO mengikut fasa dalam parti,” ujarnya lagi.

Mengulas pendirian Muhyiddin untuk membawa isu penggantungannya ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, ini jawapan beliau: “Sebagai warga Malaysia, mana-mana pihak boleh memberi bentuk pernyataan dan pandangan sekiranya mahu mendapatkan penjelasan.”