Kedudukan Kerusi Timbalan Presiden Tidak Berubah Di PAU 2015 – Zahid

94
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tiada perubahan kedudukan kerusi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perhimpunan agung Umno 2015, yang bermula 8 Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata seperti kelaziman perhimpunan agung parti sebelum ini, kedudukan kerusi timbalan presiden adalah bersebelahan kerusi presiden.

“Timbalan presiden mesti didudukkan di sebelah kanan presiden. Naib presiden satu mesti didudukkan di sebelah kanan timbalan presiden begitu juga naib-naib presiden lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia ketika mengulas mengenai kedudukan susun atur kerusi kepimpinan Umno berikutan situasi semasa selepas menghadiri majlis penutupan Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) di Valletta, Malta hari ini.

Ahmad Zahid berkata kedudukan itu mestilah dihormati oleh semua pihak kerana ia merupakan hieraki dalam parti.

Beliau juga menegaskan Umno sebuah parti dinamik yang mendengar pandangan pelbagai tokoh atau mereka yang pernah menjadi tokoh di dalam Umno.

Namun, beliau melihat masalah ketidakadilan berlaku apabila keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti terhadap seseorang dalam parti, dianggap sebagai suatu penganiayaan.

“Namun, yang penting ialah kebersamaan mendukung kepimpinan. Perbezaan pendapat biarpun diraikan, akhirnya Umno diperkukuhkan… pemimpin itu hendaklah diberi sokongan sepenuhnya,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, apabila sesuatu keputusan itu dibuat, ia perlu dihormati dan semangat itu harus ada pada kepimpinan Umno sama ada di peringkat nasional, negeri, bahagian atau akar umbi.

SHARE
Previous articleSokongan Orang Melayu Pada UMNO Tinggal 30% – Muhyiddin
Next articleAhli Cuba Gugat UMNO Akan Disiasat – Ku Nan