Kecoh Babi ‘Berkeliaran’ Di Lebuh Raya

27
0
SHARE

ALOR GAJAH: Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) gempar apabila 14 ekor babi berkeliaran di laluan itu di sekitar Kilometer 198, arah utara pagi tadi.

Haiwan terbabit terlepas ke atas jalan selepas lori yang membawanya terbabit dalam kemalangan dan terbalik di lokasi terbabit kira-kira jam 7.30 pagi.

Dalam kemalangan itu, lori membawa babi yang dalam perjalanan dari Kluang, Johor ke Senawang, Negeri Sembilan itu dipercayai dilanggar oleh sebuah PROTON Gen2 dari arah belakang sebelum kedua-dua kenderaan itu terbabas di bahu jalan.

Pemandu lori itu, Tee Yu Peng, 58, berkata dia memandu di lorong paling kiri ditemani isteri, Tan Bee Chin, 55, dalam perjalanan membawa ternakan berkenaan ke Senawang.

“Saya memandu perlahan di lorong kiri kira-kira 70 kilometer sejam, sebelum tiba-tiba rasa lori bergegar kerana ada sesuatu langgar dari belakang.

“Kemalangan ini menyebabkan lori terbabas dan melanggar penghadang kiri jalan sebelum memasuki longkang dan terbalik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kata Yu Peng, akibat kemalangan itu dia cedera di bahu, manakala isterinya hanya cedera ringan di kepala.

Difahamkan, pemilik lori babi berjaya menangkap semula haiwan ternakannya sebelum memasukkannya ke dalam sebuah lagi lori pada jam 10.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz, berkata penuntut sebuah kolej yang juga pemandu PROTON Gen2, Muhamad Dhiaulhaq Xulkifli, 18, cedera di kepala, manakala dua sahabatnya tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.