Kebakaran Maahad Tahfiz: Polis Siasat Unsur Jenayah

91
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Siasatan polis berhubung kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di ibu negara awal pagi semalam turut menjurus kepada unsur jenayah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemungkinan unsur jenayah itu turut dibincangkan oleh beliau bersama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

“Kita tidak harus membuat spekulasi sehingga siasatan diperolehi secara konklusif, sebab sebarang kemungkinan akan dikemukakan kepada jawatankuasa yang saya sebutkan tadi (Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas).

“Saya akan maklumkan kepada umum jika ada unsur-unsur jenayah dan unsur-unsur di luar daripada kesalahan atau kesilapan teknikal, termasuk gangguan pintasan elektrik di premis berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada satu sidang media selepas menghadiri Dialog TN50 Kluster Keselamatan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.