KDN Ambil Tindakan Tegas Terhadap Komplot Guling Kerajaan – Zahid

50
0
SHARE

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang merancang untuk menggulingkan kerajaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir di Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri itu berkata ia adalah perkara serius kerana memberi risiko kepada ekonomi negara.

Beliau berkata tindakan cuba menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dengan menggunakan cara tidak demokratik adalah menyalahi undang-undang.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan, menggunakan undang-undang seperti Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Hasutan.

Abdul Aziz telah meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sama ada komplot yang didakwa mahu menjatuhkan kerajaan ada kaitan dengan kontroversi 1Malaysia Development Berhad.

Beliau juga ingin tahu apa kaitan kedua-dua perkara itu, jika ada kaitan dan bagaimana kerajaan merancang untuk menanganinya.

Pada Ogos lalu, Ahmad Zahid mendedahkan satu komplot yang didalangi pembangkang untuk menggulingkan kerajaan dan ia diketuai seorang pemimpin yang masih belum didedahkan namanya.

Beliau berkata rancangan mereka untuk mendapatkan akuan bersumpah dari wakil rakyat pembangkang dan menarik sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan kerajaan.

Baru-baru ini, bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang didakwa cuba mensabotaj sistem kewangan dan perbankan negara ini.

Hanya parti komunis yang akan mengesan pergerakan pengikutnya secara keterlaluan, kata veteran Umno Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis, Tengku Razaleigh berkata demikian ketika ditanya mengenai siasatan terhadap tujuh orang ahli Umno.

“Semua organisasi mempunyai peraturan, dan mereka mempunyai hak untuk menyiasat ahli-ahlinya.

“Tetapi hanya organisasi komunis yang akan mengesan pergerakan pengikut mereka, terutamanya organisasi yang mempunyai kepimpinan lemah yang mahu memastikan ahli-ahlinya mengikut pemimpin mereka,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan memanggil Umno sebagai parti lemah.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk berdepan tindakan jika dirinya adalah salah seorang daripada tujuh yang akan disiasat, Tengku Razaleigh berkata sudah bersedia.

“Saya telah berada dalam parti lebih lama berbanding mana-mana orang di dalamnya.

“Saya juga telah berada di Parlimen lebih lama daripada mana-mana daripada mereka,” katanya.

Mengenai kemungkinan terdapat perancangan dalam parti untuk menyingkirkan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tengku Razaleigh berkata beliau mendengar tentang hal itu tetapi tidak dapat menentukan kebenarannya.

“Terpulang kepada rakyat untuk memutuskan sama ada beliau perlu disingkir keluar.

“Mereka mempunyai cara mereka sendiri dalam melakukan sesuatu, setiap organisasi ingin melihat ahlinya mengikut pemimpin, itu perkara biasa,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, dia tidak mendengar apa-apa mengenai plot itu.

“Mungkin dia (Tengku Razaleigh) lebih mengetahui dan harus tampil ke hadapan untuk memberitahu Setiausaha Agung parti.

“Jika rancangan itu benar, dia harus mengemukakannya kepada parti dan kita akan membincangkannya di Majlis Tertinggi,” katanya.

Ditanya mengapa mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi Umno dibatalkan baru-baru ini, Shahidan berkata tidak sepatutnya andaian berniat jahat dibuat.

“Ia dibatalkan, jadi dibatalkan,” kata beliau sambil menambah beliau hanya menyokong kepimpinan Umno semasa.