Kawan BN Musuh Amanah – Mat Sabu

117
0
SHARE

SUBANG: Parti Amanah Negara (Amanah) akan bermusuhan dengan sesiapa sahaja yang bersahabat dengan musuh mereka, Barisan Nasional (BN), kata presidennya Mohamad Sabu.

“Kita musuh BN sekarang. Kita musuh dan sesiapa sahaja yang kawan dengan BN,” katanya kepada pemberita selepas berucap dalam retreat kepimpinan DAP kebangsaan 2016 di Subang Jaya semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad yang berkata, Amanah menjadi musuh baharu PAS selepas Umno.

“Ancaman kita adalah Umno tapi kita ada musuh baharu. Mereka akan bertanding 8 kerusi, letak diri sama macam Umno, bermakna di 8 kawasan mereka akan rampas.

“Jangan kita tengok Umno ancaman tapi ada lebih ancaman. Kenapa kita tak pertahankan kerusi kita.

“Kalau kita tidak ada dalam kerajaan, siapa yang nak pertahankan Islam?” kata Iskandar dalam ucapannya di Ijtimak Pilihan Raya Selangor di Kuala Selangor, minggu lepas.

Amanah ditubuhkan serpihan kepimpinan profesional PAS yang tewas dalam pemilihan parti ekoran rasa tidak puas hati mereka terhadap parti Islam itu yang kini dikuasai golongan konservatif ulama.

Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini memutuskan parti itu tidak akan menyertai BN, namun bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak, khususnya dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.

Setiausahanya, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh, berkata PAS bersetuju meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi memperkukuhkan Islam dan perjuangannya. – INSIDER